Persidangan UMNO Medan Perwakilan Bersatu Hati, Bangkit Semula – Masliha

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada tahun ini seharusnya menjadi medan untuk bersatu hati, membuang segala sengketa dan terus bangkit semula demi perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air (ABATA).

Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun berkata, UMNO/Barisan Nasional (BN) akur dan menerima keputusan yang dizahirkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dengan hati terbuka serta terus mencari hikmah disebaliknya.

“Selepas kekalahan UMNO/BN pada PRU ke-15 lalu tentunya kesedihan masih menyelubungi segenap lapisan akar umbi. Namun, kita akur dan menerima kekalahan dengan hati yang terbuka serta terus mencari hikmah di sebalik apa telah terjadi.

“Seharusnya PAU tahun ini menjadi medan untuk kita bersatu hati, buang segala sengketa dan terus bangkit semula untuk menguatkan parti demi ABATA,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, sebagai teras tunjang kepada kekuatan UMNO, akar umbi perlu terus kuat, bersemangat dan berpegang teguh kepada institusi parti.

“Harapan saya terhadap akar umbi agar terus kuat, bersemangat dan sentiasa berpegang teguh kepada institusi parti dalam kita melayar bahtera yg mencabar ini.

“Akar umbi adalah teras dan tunjang kekuatan UMNO,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Masliha turut berpesan kepada para perwakilan untuk menggunakan perhimpunan ini sebagai medium bagi melontarkan pandangan dalam menjadikan UMNO sebagai parti tunjang orang Melayu semula.

“Pesanan saya kepada perwakilan agar menggunakan ruang yang diberikan ini dengan penuh hikmah dan lontarkanlah pendapat serta pandangan anda, suarakanlah apa jua usul atau idea yang konstruktif kepada para pemimpin untuk memantapkan lagi parti.

“Kuatkan semangat, raikanlah perbezaan tanpa hilang rasa hormat dan semangat dalam perjuangan. Objektif kita tetap sama iaitu menjadikan semula UMNO adalah parti tunjang orang Melayu di Malaysia,” katanya lagi.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 11 hingga 14 Januari 2023.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, turut dijadualkan berlangsung dalam PAU 2022 adalah Perhimpunan Agung Khas pada hari Jumaat. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit