Presiden UMNO Luang Masa Rai Kepimpinan Wanita UMNO Dalam Majlis Ramah Mesra

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berbesar hati menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama kepimpinan Exco Wanita UMNO Malaysia, sebentar tadi.

Pertemuan bersama kepimpinan Wanita itu sebagai simbolik menjelangnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang akan bermula pada esok sehingga 14 Januari ini.

Antara kepimpinan Wanita yang hadir ialah Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Naib Ketua, Datuk Norliza Abdul Rahim; Setiausaha, Datuk Rosni Sohar; Bendahari, Datin Maizatul Akmam Alawi; Ketua Penerangan, Datuk Norshida Ibrahim serta kepimpinan exco.

Perjumpaan yang diadakan di Tanjung Lounge Riverside Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu juga turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad Zahid yang tiba pada jam 9.30 pagi itu menyertai sarapan pagi bersama kepimpinan Wanita sebelum melakukan ucapan beliau sebagai penghargaan kepada Wanita yang memainkan peranan penting sebagai tulang belakang parti keramat ini.

Terdahulu, penganjuran PAU 2022 kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila Taklimat Presiden diadakan kembali dan bakal menambahkan lagi kemeriahan serta semangat dalam kalangan perwakilan yang hadir.

Ianya juga turut menyaksikan kehadiran pemerhati yang merupakan ketua-ketua penerangan bahagian untuk perhimpunan agung UMNO pada hari Jumaat dan Sabtu manakala ketua penerangan Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian pada perasmian Rabu dan Khamis ketika persidangan Perhimpunan Agung sayap-sayap. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.