Ahli UMNO Harus ‘Move Forward’ Dan Bangkit Semula – Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR, 10 Jan – UMNO sebagai parti politik perlu bangkit semula dan paling penting adalah cara bagaimana untuk boleh bangun kembali.
Demikian tegasnya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Pertahanan.
Beliau mengharapkan agar ahli parti terus pandang ke hadapan dan memastikan UMNO terus bangkit.
“Kita sebagai parti yang kalah dalam pilihan raya, jadi jangan lupa itu… kadang-kadang kita lupa … yang penting bagi kita adalah ‘move forward’ pada parti.
“Kita harus maju ke depan dan bangkit semula serta mengambil pertimbangan. Kita akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu dan Kelantan.
“Senario perlu diambil kira dan yang penting PAU kali ini adalah untuk membina semula semangat ahli parti untuk dibawa balik ke kawasan masing-masing dan menerokai hala tuju yang perlu buat untuk bangun semula dan melihat ke hadapan yang ianya bermula dari sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis taklimat jurucakap-jurucakap negeri menjelang Perhimpunan Agung UMNO di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, di sini.
Turut hadir Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badrudin Amiruldin; Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau menasihati jurucakap pada PAU ini agar perkara yang sudah berlaku itu jangan diungkitkan lagi.
“Don’t talk so much about mengapa kita kalah dan macam-macam kata ini tidak betul dan semua tidak betul melainkan diri kita… the past it’s past.
“… dan pada itu ambil pengisian daripada taklimat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apa yang beliau ingin mengutarakan, bagaimana … apa sebabnya kerajaan ini dibentuk.
“Kita membuat pilihan antara telan mati mak, diluah mati bapa. Kita membuat pilihan begitu rupa sekali dan tidak mampu berada sebagai pembangkang, walaupun ramai yang minta jadi pembangkang,” ujarnya.
Perhimpunan Agung UMNO 2022 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 11 hingga 14 Januari 2023.
Pada hari Jumaat akan diadakan Perhimpunan Agung Khas selepas ucapan dasar Presiden UMNO untuk meminda dua usul Perlembagaan UMNO. – UMNO Online