Raptai PAU 2022 Meriah, Perbarisan Warnai Semangat Parti
KUALA LUMPUR, 7 Jan – Raptai penuh perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 telah berlangsung di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pagi tadi.
Seperti kelaziman kemeriahan sambutan menyaksikan perbarisan oleh Skuad Sayang Wanita UMNO Malaysia dan Skuad Sabil dari Pergerakan Pemuda UMNO serta iringan lagu ’Inilah Barisan Kita’ untuk menyambut kedatangan Presiden.
Raptai bermula seawal 7.30 pagi itu dikendalikan oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan bermula dengan upacara menaikkan bendera sayap-sayap UMNO disusuli nyanyian lagu parti ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.
Selain raptai di Plaza Merdeka, raptai dalam dewan juga akan diadakan pada jam 10.30 pagi membabitkan persidangan ketiga-tiga sayap pergerakan dan perasmian perhimpunan agung di Dewan Merdeka.
Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang meninjau persiapan raptai PAU ini.
Raptai ini adalah antara persediaan terakhir sebelum PAU 2022 yang dijadualkan pada 11 hingga 14 Januari ini.
Terdahulu PAU 2022 sebelum ini dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember bagaimanapun ditangguhkan kerana bertembung dengan cuti persekolahan.
Penganjuran kali ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila menyaksikan kehadiran ketua penerangan bahagian dan sayap selaku pemerhati khas.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ini kerana, ketua penerangan memainkan peranan penting di bahagian masing-masing dalam memberikan penjelasan di peringkat akar umbi berkenaan persidangan PAU. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib