Isu Pemilihan Dibangkit Untuk Huru-Harakan UMNO Sebelum Hadapi PRN – Isham Jalil
KUALA LUMPUR, 4 Jan – Isu pemilihan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dibangkitkan untuk menghuru-harakan parti sebelum menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlaku tidak lama lagi.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil berpendapat isu tersebut lantang dibangkitkan oleh orang luar parti supaya berlaku pergolakan dalaman di dalam parti akar umbi itu.
“Tentang isu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti, saya tahu perkara ini berbangkit sejak dua minggu lalu dan ianya bukan daripada orang UMNO itu sendiri.
“Mereka yang lantang mengenai isu ini saya tengok sama ada mereka yang menyokong Perikatan Nasional (PN) ataupun orang daripada parti tersebut. Orang UMNO tiada yang lantang membawa isu ini.
“Bila kaji, saya tengok ada cubaan supaya pemilihan ini dibuat untuk menghuru-harakan UMNO,” katanya menerusi wawancara eksklusif bersama Sinar Daily di laman Facebooknya.
Jelasnya, strategi tersebut digunakan supaya PN mendapat manfaat daripada pergolakan dalaman yang berlaku sekaligus memecah belahkan UMNO.
“Strategi mereka mungkin serampang dua mata. Satu, mereka nak huru-harakan UMNO. Kita semua tahu UMNO ini parti akar umbi jadi kalau buat pemilihan huru-hara dan kita nak pergi ke Pilihan Raya Negeri (PRN) akan jadi sukar. Itu yang mungkin mereka akan lakukan.
“Di Kedah itu hari ada orang tanya saya, bilakah PRN akan berlaku? Saya kata negeri-negeri yang dikawal oleh PN mungkin akan bubar selepas pemilihan. Kita punya pemilihan pada Mei dan mereka mungkin akan bubar pada bulan Jun ataupun Julai.
“Perkara ini mungkin disebabkan mereka mahu UMNO berpecah dan dapat manfaat daripada pergolakan dalaman yang berlaku,” katanya lagi.
Sebanyak enam negeri tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Bagaimanapun Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan masih belum ada perbincangan untuk BN mengadakan kerjasama dengan PH bagi menghadapi enam PRN pada tahun depan meskipun Kerajaan Perpaduan telah terbentuk di peringkat pusat. – UMNO Online