Perak Cadang Wujudkan Skim Khas Atlet Cemerlang

IPOH, 30 Dis – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata terdapat keperluan untuk mewujudkan skim khas kepada atlet berprestasi cemerlang Perak demi kelangsungan kerjaya mereka.

Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dengan pihak berkenaan namun tidak mendedahkan butiran lanjut berkaitan skim tersebut.

“Jika mewujudkan skim khas bagi atlet merupakan keperluannya sekali gus dapat membantu kecemerlangan atlet di negeri ini apa salahnya. Kita akan bincangkan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan dana pendidikan berjumlah RM600,000 kepada pelari pecut negara Muhammad Azeem Fahmi, 18, dan insentif RM100,000 kepada Pasukan Hoki Lelaki Perak di sini hari ini.

Saarani berkata, sumbangan dana pendidikan itu bukan satu bentuk hadiah namun bagi membiayai pengajian Muhammad Azeem ke Universiti Auburn, Alabama, Amerika Syarikat kelak.

“Ini bukan tentang hadiah kemenangan, ini kerana dia berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti yang turut mempunyai kemudahan serta fasiliti bagi meningkatkan kecemerlangannya dalam bidang sukan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Azeem berkata suntikan dana tersebut sedikit sebanyak menjadi pemangkin semangat kepadanya sewaktu pengajian selama empat tahun nanti yang dijadual bermula Januari depan.

Muhammad Azeem memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100m dengan mencatatkan 10.09s pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia Ogos lepas dan kini menyasarkan untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia 2023 di Budapest, Hungary dan Sukan Olimpik Paris 2024. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.