Perak Bentang RUU Anti Lompat Parti
IPOH, 28 Dis – Kerajaan Negeri Perak hari ini membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti sebagai langkah bagi memastikan larangan pertukaran parti politik bagi Ahli Dewan Negeri Perak.
Ia dibentangkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad sewaktu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“RUU ini bertujuan untuk meminda beberapa perkara di Bahagian Pertama, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan terlebih dahulu sebelum peruntukan boleh mula berkuat kuasa, sekali gus sebagai larangan Ahli Dewan Negeri Perak bertukar parti.
Ia supaya selaras dengan peruntukan Seksyen 7A, Jadual Kelapan, Perlembagaan Persekutuan yang telah dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022,” katanya sewaktu ucapan pembentangan.
Saarani berkata terdapat lima fasal yang akan dicadangkan dalam pindaan RUU tersebut antaranya tajuk ringkas, peruntukan tentang permulaan kuat kuasa Enakmen yang dicadangkan, makna “parti politik” dan kekosongan luar jangka di Dewan Negeri.
RUU itu dijangka akan dibahas dan ditentukan keputusannya esok.
Saarani sebelum ini dilaporkan berkata gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang menerajui Kerajaan Negeri Perak akan dipertahankan sehingga akhir penggal demi pembangunan dan kesejahteraan rakyatnya.
Pada 28 Julai lepas, Dewan Rakyat meluluskan Pindaan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti dan ia menetapkan seseorang Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat pada pilihan raya akan hilang kerusi yang dimenanginya jika wakil rakyat itu “lompat parti”.
Bagaimanapun seseorang Ahli Parlimen tidak kehilangan kerusinya jika wakil rakyat itu dipecat daripada partinya atau sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.
Terdahulu, persidangan DUN Perak hari ini meluluskan RUU (Enakmen) Perbekalan Perak 2023 berjumlah RM1.19 bilion yang memberi tumpuan khusus pada memacu pertumbuhan ekonomi dan agenda mensejahterakan kehidupan rakyat.
Ia dibentang Saarani pada 22 Dis lepas dengan tema “Perak Makmur, Rakyat Sejahtera”, Belanjawan 2023 Perak memperuntukkan sebanyak RM395 juta untuk perbelanjaan pembangunan manakala RM794 juta bagi perbelanjaan mengurus. – BERNAMA