UMNO Terus Bergerak Ke Depan Berjuang Untuk Rakyat Dan Negara – Khaled
KUALA LUMPUR, 23 Dis – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata banyak isu persepsi yang dimainkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu memberi kesan terhadap keputusan PRU berkenaan.
Pada masa yang sama kata beliau lagi yang juga Menteri Pengajian Tinggi, parti itu menerima hakikat bahawa pengundi mengesampingkan politik khidmat bakti yang diusahakan oleh parti tersebut di setiap kawasan, namun ianya tidak melemahkan mereka untuk terus berkhidmat sebaik mungkin.
“Saya akui, banyak isu persepsi yang dimainkan memberi kesan kepada keputusan PRU-15 dan parti menerima hakikat pengundi mengesampingkan politik khidmat bakti yang diusahakan oleh UMNO disetiap kawasan.
“Namun, la sama sekali tidak melemahkan parti dan UMNO akan terus ikhlas memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air,” katanya ketika bertemu kepimpinan dan jentera PDM Taman Mawar bagi mendengar taklimat post mortem PRU-15 serta menerangkan keadaan semasa parti pada ketika ini.
Meneruskan lagi perkongsiannya menerusi catatan di Facebook, beliau seterusnya menambah perkembangan semasa dan peristiwa penting sehingga terbentuknya kerajaan hari ini turut dikongsi bersama akar umbi.
“Saya juga menerangkan garis masa dan peristiwa penting sehingga terbentuknya Kerajaan Perpaduan yang memperakui kedudukan BN-UMNO yang kini dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.
“Saya percaya, walau apa jua keadaannya. UMNO terbuka untuk meneroka kerjasama yang memberi kepentingan kepada kesejahteraan rakyat dan menjamin kestabilan politik demi negara,” tambahnya.
Turut hadir YB Hj Baharudin Mohamed Taib, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang merangkap ADUN Permas, Datuk Mohd Amin, Bendahari Bahagian, Razani Abd Raud, Setiausaha Bahagian, Ketua-Ketua Cawang, Ketua-Ketua Sayap dan jentera cawangan. – UMNO Online