Cukup-Cukuplah Drama Politik, Rakyat Mahu Khidmat Kerajaan Sebaiknya – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Akmal Salleh berkata undi percaya serta keabsahan kerajaan yang dibentuk telah pun dilulus serta dibuktikan di Parlimen semalam.

Justeru beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka menegaskan, masa untuk bekerja serta berkhidmat untuk fakyat dan negara perlu diberikan tumpuan yang sewajarnya.

“Undi percaya terhadap perdana menteri telah diluluskan. Keabsahan kerajaan telah dibuktikan. Maka ini masa untuk bekerja untuk rakyat, yang membangkang, bangkanglah secara berilmu dan matang,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau seterusnya menambah rakyat tentunya mahu kerajaan yang sebaiknya dalam mengemudi negara dan melaksanakan amanah serta tanggungjawab.

“Rakyat dah jemu dengan cerita politik, rakyat mahukan sebuah kerajaan yang memikirkan untuk kebaikan mereka bukannya kepentingan ahli politik.

“Cukup-cukulah dengan drama politik bertukar kerajaan banyak kali dalam satu tempoh. Ini masa untuk kita berkhidmat,” ujarnya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ke-10, apabila Usul Undi Percaya terhadapnya diluluskan dengan lebih suara bersetuju pada hari pertama Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-15.

Keabsahan Ahli Parlimen Tambun itu disahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul, yang mengumumkan keputusan tersebut selepas undian suara dibuat sebaik 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang selesai membahaskannya.

Terdahulu usul itu dikemukakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan disokong seorang lagi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit