Sidang Pertama Dewan Rakyat Hari Bersejarah, Ikrar Beri Khidmat Terbaik Kepada Rakyat – Ahmad

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berikrar untuk memberikan khidmat terbaik beliau sebagai wakil rakyat yang dipilih termasuk menggalas tanggungjawab sebaiknya sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Bakal mengangkat sumpah pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Setiausaha Agung UMNO itu juga menyifatkan hari pertama persidangan kali ini sebagai suatu hari yang bersejarah.

“Esok (hari ini) Isnin, Speaker baru Dewan Rakyat akan dipilih/undi, Ahli Parlimen akan mengangkat sumpah, usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibahas dan diundi.

“Suatu hari yang bersejarah, disertakan antara kedudukan kerusi Ahli Parlimen. Saya akan lakukan yang terbaik selaku Timbalan Menteri Kewangan,” katanya menerusi satu ciapan di Twitter.

Untuk rekod pembentangan usul undi percaya kepada Perdana Menteri bertujuan membuktikan beliau mendapat sokongan Ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 berlangsung dua hari bermula hari ini, juga bakal menyaksikan Ahli-ahli Dewan Rakyat yang menang pada PRU15 mengangkat sumpah selain pemilihan Timbalan-Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.