Bajet, RUU Anti Lompat Parti Antara Jadi Tumpuan Sidang DUN Perak

IPOH, 16 Dis – Pembentangan Bajet Negeri Perak 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti antara usul yang dijangka mencuri tumpuan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang bermula Isnin ini.

Speaker DUN Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata bajet negeri akan dibentangkan Khamis minggu depan, manakala RUU tersebut akan dibentang pada minggu berikutnya oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Katanya RUU itu akan turut dibahaskan oleh enam ADUN yang terdiri daripada ketua parti-parti politik.

“Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim telah berkenan untuk mencemar duli berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Kedua, Tahun Pertama, Dewan Negeri Yang Ke-15, Perak Darul Ridzuan pada Selasa ini.

“Sultan Nazrin akan menzahirkan Titah Diraja bersempena pembukaan rasmi sebelum Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk muka baharu menyertai sesi perbahasan pada hari berikutnya,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Mengenai kehadiran, Mohammad Zahir berkata seramai 58 ADUN akan mengangkat sumpah Isnin ini manakala ADUN Kepayang yang juga Ahli Parlimen Teluk, Intan Nga Kor Ming yang memegang jawatan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, akan mengangkat sumpah pada Selasa kerana perlu menghadiri persidangan Parlimen pada hari sama.

Beliau turut mengumumkan ADUN Semanggol yang juga Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria sebagai Ketua Pembangkang yang baharu, menggantikan ADUN Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari daripada DAP.

Katanya semua ketua atau wakil jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta Persekutuan dibenarkan untuk hadir secara fizikal bagi mengikuti persidangan selain tiada lagi penjarakan fizikal akan dilaksanakan sepanjang tempoh persidangan.

Sementara itu, Setiausaha Dewan Negeri Muhammad Nazri Abdullah berkata pihaknya telah menerima satu pencalonan bagi pemilihan Speaker iaitu Mohammad Zahir, manakala timbalannya ADUN Canning Jenny Choi Tsi Jen akan mengangkat sumpah jawatan pada Isnin.

Orang ramai boleh mengikuti penstriman langsung persidangan di saluran YouTube DUN Perak serta menerusi portal dan laman facebook rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit