PRU 15: BN Pertahan DUN Tioman, Tahniah Dan Terima Kasih Semua – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan kepada seluruh pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman kerana berjaya mempertahankan kerusi Barisan Nasional (BN) di kawasan ini.

Beliau yang juga Pengerusi BN menjelaskan kemenangan parti ini bukan sahaja pengundi-pengundi yang setia pada BN malah sumbangan Tik Tokers juga turut memainkan peranan.

“Alhamdulillah BN telah berjaya memenangi DUN Tioman dan antara lain faktornya ialah sumbangan ‘tik tokers’ yang bekerja keras membantu kempen BN kali ini.

“Meskipun dengan majoriti tidak tinggi namun usaha bersama semua pihak termasuk Pakatan Harapan (PH) menjadikan DUN Tioman kekal milik BN atas semangat Kerajaan Perpaduan demi Kestabilan dan Kemakmuran negeri Pahang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam masa yang sama Presiden UMNO itu turut menghargai jasa pengundi-pengundi di DUN Tioman kerana memilih BN.

“Tahniah kepada jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) serta terima kasih kepada semua pengundi-pengundi yang telah memilih BN sebagai wakil rakyat.

“Terima kasih dan Tahniah untuk semua,” ujarnya.

Semalam, calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain, diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi DUN Tioman dan beliau menang dengan majoriti 573 undi selepas memperoleh 8,080 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Nor Idayu Hashim yang mendapat 7,507 undi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit