Ahmad Maslan Harap DUN Tioman Jadi Sebahagian Kerajaan Negeri
ROMPIN, 5 Dis – Sokongan pengundi pada calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain tidak pernah pudar sejak beliau mula bergelar wakil rakyat.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ini kerana BN sejak sekian lama telah banyak menabur bakti kepada rakyat di semua peringkat.
Tegasnya, pilihannya cukup mudah sama ada hendak jadi kerajaan atau hendak jadi pembangkang.
“Kalau nak jadi kerajaan pilihan amat jelas menyokong calon BN kerana BN sebahagian daripada kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Pahang.
“Kalau kita memilih BN, kita jadi kerajaan dan kalau kita memilih Perikatan Nasional (PN) kita akan jadi pembangkang.
“Prinsip apa kalau nak jadi pembangkang? Kalau dapat kerja mudah, buat apa nak kerja yang susah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program ceramah Pilihan Raya Umum (PRU) ke -5 di Kampung Tekek, Pulau Tioman, malam tadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian mempertikaikan masa pembuangan undi lalu pihak pembangkang menjaja cerita negara ini akan mengalami banjir.
“Pihak pembangkang mengatakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah zalim dan membuat PRU pada musim tengkujuh tetapi adakah banjir pada 19 Nov… tak ada. Inilah yang pembangkang jaja cerita dan angkara penyebab-penyebab apabila BN tidak dapat menang banyak di Parlimen.
“… dan mereka telah memutar belitkan fikiran anak muda bahawa UMNO/BN ini yang kononnya tidak bersih. Salah satu sebabnya pembangkang menjajakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak masuk penjara dan mereka mengatakan pimpinan ini tidak bersih.
“Kita jangan melihat dihadapan tetapi kena dengar balik apa cerita dibelakang. Cerita yang dibelakang selalunya tidak dicerita oleh orang lain. Yang anak-anak muda keliru lantas membuat keputusan bahawa pimpinan UMNO/BN ini teruk,” katanya lagi
PRU bagi DUN Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antara penyandang kerusi DUN Tioman, Datuk Seri Johari Hussain (BN), Nor Idayu Hashim (PN), Mohd Fadzli Mohd. Ramly (PH), Osman A.Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas). – UMNO Online