Pasca PRU15: UMNO Penyelamat Keadaan, Tidak Pernah Derhaka Kepada Raja

KUALA LUMPUR, 30 Nov – UMNO berada dalam kedudukan paling penting kerana sering diperlukan sebagai penyelamat lebih-lebih lagi apabila negara menghadapi situasi politik yang sukar sejak ianya diasaskan.

Ketua Penerangan Veteran UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Kamal Amir Kamal Hijjaz berkata, disebabkan kedudukan parti itu sebagai penyelamat kepada keadaan maka UMNO tidak akan pernah menderhaka kepada institusi di-Raja.

“Saya merasakan bahawa UMNO dari dahulu lagi sejak diasaskan berada dalam kedudukan paling penting. Apabila negara berada dalam keadaan sukar, maka UMNO diperlukan sebagai penyelamat.

“Sebab itu, UMNO tidak akan menderhaka. Sesiapa sahaja yang menderhaka dengan Raja-Raja Melayu, UMNO akan tiba menjunjung titah,” katanya dalam sesi wawancara di Facebook UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau turut menyingkap kembali sejarah kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-3 yang memperlihatkan tiada kerajaan dapat dibentuk dan parti itu muncul sebagai penyelamat.

“Jangan lupa apabila kita kalah pada pilihan raya tahun 1969 (PRU ke-3), nak tubuh kerajaan di Selangor, Perak dan Pulau Pinang tak boleh. Pada ketika itu, UMNO juga bertindak sebagai penyelamat.

“Perdana Menteri ke-2, Almarhum Tun Abdul Razak menyelamatkan suasana dengan menubuhkan Barisan Nasional (BN). Sama juga ketika PRU ke-14. Rakyat memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan dapat dibentuk namun hanya kekal selama 22 bulan sahaja.

“Pada waktu itu UMNO diperlukan maka naiklah Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Namun akhirnya beliau jatuh juga akibat tidak ada sokongan dan digantikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, wakil daripada UMNO. Dari situ, barulah terbitnya kestabilan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menganggap UMNO sebagai permata yang sentiasa diperlukan ketika negara dalam keadaan yang tidak menentu.

“Selepas PRU ke-15, kita dapat lihat mana-mana parti tidak dapat menubuhkan kerajaan maka UMNO muncul sekali lagi sebagai penyelamat. Sebab itu saya katakan, UMNO tidak kalah.

“UMNO adalah permata yang sentiasa diperlukan di saat-saat negara berada dalam keadaan dan suasana politik yang tidak menentu,” katanya lagi.

Keputusan PRU ke-15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

BN pada mulanya membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong untuk menentukannya seperti mana turut diputuskan oleh GPS dan GRS. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit