Ahmad Maslan Adakan Program Dialog Bersama, Jawab Isu Semasa Secara Berdepan

PONTIAN, 28 Nov – Pelbagai perkara melingkari kehidupan masyarakat khususnya membabitkan isu-isu semasa selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 termasuklah pembentukan kerajaan yang menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri ke-10.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian telah mengadakan Program Dialog Bersama Ahli Parlimen dengan melibatkan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam acara berbeza iaitu DUN Benut dan DUN Pulai Sebatang semalam.

“Dialog secara terbuka menjawab isu-isu semasa secara berdepan untuk memberi penjelasan kepada pimpinan akar umbi dan wakil-wakil masyarakat,” katanya dalam ciapan menerusi Twitternya.

Dalam hal ini beliau menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua yang hadir.

“Terima kasih kepada semua yang hadir dan bertanya soalan-soalan,” katanya lagi.

Dalam PRU15, Ahmad mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Pontian dengan majoriti 5,758 undi.

Ahmad yang juga penyandang kerusi itu sejak tiga penggal lalu meraih 23,201 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Isa Ab Hamid yang meraih 17,443.

Calon Pakatan Harapan (PH), Shazwan Zdainal pula meraih 15,901 undi, manakala calon PEJUANG, Jamaludin Mohamad, pula meraih hanya 306 undi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit