Pengundi 18 Teruja Mengundi Pertama Kali, ‘Rasa Macam Pakai Inai’

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Rata-rata pengundi muda khususnya yang berumur bawah 21 tahun melahirkan rasa teruja apabila berkesempatan membuang undi buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.

Berdasarkan tinjauan, pengundi muda dilihat keluar awal bagi menunaikan kewajipan mereka, malah ada menyifatkan keterujaan mengundi seakan perasaan ‘bernikah’ memandangkan perlu mencelup dakwat di jari.

Bercerita tentang pengalaman itu, seorang pengundi muda, Melissa Sofia Shahran, 18, berkata, dia berasa teruja untuk mengundi pada hari ini kerana pertama kali merasai pengalaman memilih wakil rakyat sempena PRU.

“Saya keluar awal hari ini sebab teruja mahu mengundi wakil rakyat baharu. Bila buang undi, rasa macam pakai inai sebab kena celup jari, seronok perasaan itu,” katanya ketika ditemui di Pusat Mengundi Parlimen Titiwangsa di Sekolah Kebangsaan Taman Maluri di sini tadi.

Dalam pada itu, sekumpulan Orang Kurang Upaya (OKU) dilihat turut hadir menunaikan kewajipan mereka hari ini.

Salah seorang daripada mereka, Mohd Faizal Abu Osman, 39 tahun berkata, meskipun mengundi kali kedua, tetapi beliau masih berasa teruja bagi melihat suasana pilihan raya lima tahun sekali.

“Saya sangat teruja sebab nak tengok kali ini, keadaannya agak berbeza, ada pengundi muda, tetapi untuk kami, proses berjalan lancar, pegawai dan semua pwtugas memudahkan urusan kami untuk memangkah,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit