Ahmad Zahid Selesai Mengundi, Gerakkan 200,000 Jentera BN Bawa Keluar Pengundi

BAGAN DATUK, 19 Nov – Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama isteri Datin Seri Hamidah Khamis dan anak, Datuk Nurul Hidayah, selesai menunaikan tanggungjawab mengundi hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengundi di Madrasah Manbail Ullum, Sungai Nipah Darat di sini hari ini.

Beliau yang tiba pada jam 8.15 pagi di sekolah tersebut selesai menunaikan tanggungjawabnya pada jam 8.43 pagi.

Ahmad Zahid memaklumkan bahawa gabungan itu menggerakkan lebih 200,000 jentera untuk membawa pengundi keluar, hari ini.

Menurutnya dalam siding media selepas membuang undi, usaha itu dilakukan bagi memastikan lebih ramai pengundi keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Dilaporkan, pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Bagan Datuk layak mengundi pada PRU kali ini ialah seramai 58,183.

Ahmad Zahid yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk menang dalam PRU14 dengan majoriti 5,073 undi.

Dalam PRU15 kali ini, persaingan melibatkan saingan empat penjuru berdepan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dari Pakatan Harapan (PH) selain dua lagi calon Dr Muhammad Faiz Na’aman dari Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas, Mohamad Tawfik Tun Dr Ismail. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.