Shahril Sangkal Tohmahan BN Takut Pengundi Muda

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menegaskan bahawa tohmahan yang mengatakan Barisan Nasional (BN) takut akan pengundi muda adalah tidak benar.

Sebaliknya beliau yang merupakan calon BN bagi Parlimen Alor Gajah menegaskan  sebagai orang muda beliau sendiri diletakkan di kawasan panas, bersaing dengan bekas menteri dan bekas ketua menteri.

“Saya nak menyangkal juga apa yang mungkin didakwa bahawa BN nak melihat jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah kerana kita hanya nak pengundi kita sahaja yang keluar.

“Walaupun bukan dalam forum ini tapi adalah ceramah-ceramah daripada lawan kita yang mungkin cuba katakan BN ni takut dengan pengundi muda ataupun takut dengan pegundi baharu… mana mungkin kita takut dengan pengundi-pengundi muda.

“Kalau saya diletakkan di kerusi panas berlawan dengan bekas menteri dan bekas ketua menteri maknanya kita meraikan orang muda, kita meraikan pengundi muda, kita nak seberapa ramai pengundi keluar, kita nak mereka pilih masa depan yang lebih baik dan biarlah mereka pertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi video pendek yang dimuat naik dalam laman Facebooknya.

Katanya, siapa ataupun parti mana yang lebih baik membawa visi mereka jadalah yang lebih penting.

“Dalam hal ini saya yakin bahawa ketiga-tiga parti ataupun semua parti dan semua calon akan merayu undi daripada segenap generasi. Orang muda sekarang ini telah pun diberikan hak untuk mengundi lebih awal lagi daripada sebelum ini.

“Semua dipersetujui semua parti, kita semua memperjuangkan perkara ini sekali dan saya nampak hak ini perlulah diambil dan dipergunakan oleh orang muda kerana ini masa depan mereka… yang kita bercakap ataupun berbahas kadang-kadang bergaduh sikit-sikit bukan sekadar kerana kepentingan peribadi kita.”

Sebab itu katanya, kaedah mungkin berbeza, platform mungkin berbeza tapi semuanya tentang masa hadapan.

“Dalam hal ini masa depan Alor Gajah saya mohon semua pengundi-pengundi tak kira yang berumur ataupun yang muda, yang lebih muda dari saya sekalipun untuk gunakan hak yang telah diberikan. Pilihlah masa depan yang lebih baik.

“Anak muda hari ini sudah pandai menilai. Perubahan itu perlu dan penting. Demi masa depan dan generasi Alor Gajah, izinkan saya berkhidmat untuk anda,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit