Kuasa Sebenar Adalah Rakyat… Ayuh Bersama-sama Pilih Barisan Nasional – Khaled

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Esok adalah hari pengundian sebagaimana yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menandakan tamatnya tempoh berkempen dengan mandat rakyat untuk mengundi bagi menentukan kerajaan masa hadapan.

Sehubungan itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memilih Barisan Nasional (BN) bagi menjadikan Malaysia hebat.

Katanya yang juga calon BN Parlimen Kota Tinggi menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya, esok rakyat berpeluang untuk mengembalikan Malaysia kepada kestabilan dan kemakmuran.

“Hampir lima tahun lalu, BN tewas untuk pertama kalinya dalam pilihan raya umum. Ia adalah tamparan paling hebat untuk BN. Kami menerima kekalahan tersebut dan berusaha memperbaiki diri. Akhirnya, kuasa sebenar ialah pada rakyat.

“Namun Pakatan Harapan (PH) yang menggantikan kami sebagai kerajaan hanya bertahan 22 bulan. Mereka tidak lebih baik, tidak lebih berkesan mahupun lebih berwibawa. PH tersungkur kerana sikap jelek pemimpin Pakatan Harapan sendiri yang khianat pada parti sendiri dan mandat pengundi.

“Malaysia kemudiannya berada dalam ambang ketidakstabilan politik dengan tiga Perdana Menteri dalam tempoh empat tahun. Esok, saya mengajak rakyat Malaysia untuk tidak mengulangi episod sedemikian. Kita berpeluang untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran pada tanahair tercinta.”

Ujarnya, rakyat mesti membuat pilihan yang betul untuk mengembalikan semula Malaysia ke landasan pemerintahan yang teratur, diyakini dan mempunyai kejelasan dalam hala tuju.

“Malaysia mesti di pulihkan menjadi kuasa ekonomi unggul, kemiskinan di basmi, kesenjangan bandar dan didesa di kecilkan, jutaan pekerjaan di cipta, kemakmukan di rai, alam sekitar di lestari dan pendidikan di revolusi.

“Kekalahan lima tahun lepas bukan penamat BN. Ia adalah katarsis yang sangat BN perlukan untuk memperbaiki dirinya. BN memohon untuk diberikan mandat untuk menebus kembali segala kesalahan lepas, menyempurnakan kerja-kerja yang terkandas dan memeta kemajuan yang lebih radikal untuk negara ini.

“Kami punya perancangan yang rapi, terangkum dan luar biasa untuk Malaysia. Lima tahun akan datang, kami akan mengusahakan ekonomi yang terangkum dan berdaya saing, mengukuhkan kelas menegah dan membasmi kemiskinan mutlak.”

Jelasnya, prasarana akan dibangunkan selari kemajuan teknologi, tadbir urus Kerajaan akan dipaksikan kepada sistem digital agar moden, telus dan beramanah.

“Semua bakat serta potensi putera-puteri Malaysia akan kita bongkar dan bangunkan sebaiknya.
Perpaduan akan kita eratkan dan kehidupan pelbagai agama kita raikan.

“Kami akan menjadikan Malaysia lebih luar biasa dengan idea besar yang hebat. Dengan mandat anda, kami akan menyempurnakan tugas ini.

“Ayuhlah bersama-sama kami kita pilih Barisan Nasional.” – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit