Isu Ugut SPRM: Itulah Sikap Pendendam Pembangkang – PM Ismail Sabri

BERA, 18 Nov – Kenyataan berbaur ugutan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki disifatkan sebagai bukti sikap sebenar parti pembangkang yang pendendam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malah, kata beliau, perkara sama dapat dilihat ketika Pakatan Harapan menjadi kerajaan pada 2018 apabila beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Biro Tatanegara (BTN) dibubarkan kerana dianggap menyokong (menjadi ejen) kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika mentadbir negara.

“Selepas PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14), kita lihat mereka memang balas dendam… (apabila) mereka masuk memerintah (jadi kerajaan) semua pegawai yang tidak bersama mereka dibuang, puluhan ribu pegawai kontrak dibuang begitu sahaja di bawah JASA, BTN dan sebagainya.

“Selain itu pengerusi syarikat, agensi kerajaan dan sebagainya kalau dari parti pemerintah dari BN belum dapat surat dah dipecat… Itu sikap sama yang ditunjuk Rafizi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Ramah Mesra bersama Penduduk di Bandar 32 di sini hari ini.

Semalam media melaporkan Rafizi berkata PH akan ‘mencari’ Azam apabila pakatan itu menang pada PRU15. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit