Habibah Yakin Pengundi Tanjung Karang Pilih BN

TANJUNG KARANG, 17 Nov – Berbaki dua hari lagi bagi Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Tanjung Karang Datuk Habibah Mohd Yusof yakin pengundi di sini menyokong BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.

Ini kerana katanya pengundi semakin matang dan melihatnya sebagai pemimpin berkelayakan dalam membela nasib rakyat.

“Saya melihat semakin hari penerimaan dan sokongan BN bertambah baik dan meningkat dari masa ke semasa. Pada awalnya ramai yang terkejut dan berbagai reaksi diberikan namun sekarang ini sudah berubah dan mahu BN mengekalkan penguasaan di Parlimen ini.

“BN Tanjung Karang ini adalah satu kelompok yang sangat matang dalam berpolitik. Akar tunjang di sini cukup kuat, perjuangannya mantap dan kesemuanya berpegang pada parti.

“Saya berharap semua pengundi-pengundi Parlimen Tanjung Karang dapat memberikan saya peluang untuk membuktikan bahawa juga mampu memikul dan menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Tanjung Karang,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Tanjung Karang merasa kagum dengan pencapaian bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar yang menjaga kesejahteraan rakyat dan pengundi di kawasan ini.

“Saya tidak menafikan bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar adalah yang terbaik. Apa yang dilakukan oleh beliau seperti menjaga kebajikan pengundi serta rakyat dan Insya Allah… saya akan teruskan.

“Saya juga berazam ingin menjadikan kawasan ini yang lebih terbaik dan akan lebih fokus pada ekonomi rakyat setempat agar pendapatan mereka sentiasa meningkat,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit