BN Mampu Menang Di Tambun, PH Dan PN DNA Sama – Aminuddin

TAMBUN, 17 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tambun Datuk Aminuddin Hanafiah yakin BN mampu mencipta kemenangan di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Ujar Ketua UMNO Bahagian Tambun itu, sebenarnya sebelum ini kawasan Parlimen itu merupakan kubu BN tetapi berlaku sedikit perubahan pada PRU14 di mana ia dimenangi oleh PPBM yang mewakili Pakatan Harapan (PH) bertanding atas tiket PKR.

“Jadi rata-rata saya pergi banyak juga menyatakan harapan agar BN kembali menerajui kerusi-kerusi di Parlimen Tambun. Begitu juga dengan kaum Cina, India terutamanya Cina yang saya merasai kali ini mereka lebih terbuka.

“Tidak seperti 2018 di akhir-akhir kempen mereka mengelak tetapi kali ini nampak mereka mahu menerima kehadiran kita, ambil ‘flyers’ dan sebagainya.

“Sekurang-kurangnya ada positif di situ dan saya amat yakin kita UMNO/BN walaupun sebagai ‘underdog’ tetapi mempunyai ruang mencipta kemenangan di sini,” katanya kepada UMNO Online, ketika ditemui di Bilik Gerakan Manjoi Baru di sini, baru-baru ini.

Jelasnya lagi, selain menolak Pakatan Harapan (PH) yang terbukti gagal mentadbir negara, rakyat juga perlu menafikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) kerana mempunyai PPBM yang pernah bersama PH.

“Sebahagian daripada PN itu ada PPBM. PPBM itu adalah sebahagian DNA pembentukan PH pada 2018. Matlamat hanya hendak menjatuhkan orang tapi bila diberi kuasa tiada keupayaan untuk melaksana kerja-kerja sepertimana yang dijanjikan.

“Jadi pilihan terbaik adalah BN, jadi kita berharap mereka yang telah melakukan kesilapan 2018 jangan ulangi kesilapan, kembalilah mengundi BN,” serunya.

Pada PRU15 ini, Parlimen Tambun menyaksikan pertandingan empat penjuru di mana Aminuddin akan berhadapan dengan PH, PN dan Pejuang.

Seterusnya, ulas Aminuddin, setelah BN tewas pada 2018 banyak perancangan yang direncanakan kerajaan BN tergendala.

“Jadi motto kita menyambung yang tergendala antaranya perkara yang menyentuh pembangunan infrastruktur yang asas, mengelakkan isu banjir kilat, kesesakan jalan dan juga penggunaan kemudahan awam yang kita bina satu ketika dulu.

“Kita bina 25 unit gelanggan futsal, dewan-dewan komuniti, perpustakaan desa tetapi nampak gayanya dalam tempoh empat lima tahun kebelakangan ini semasa UMNO tidak menjadi kerajaan ia agak kurang digunakan.

“Hasrat kita ialah membaik pulih kemudahan-kemudahan ini dan kemudian merancakkan dan memeriahkan penggunaannya. Mencari peruntukan untuk membaik pulih gelanggang futsal dan buat satu liga melibatkan anak-anak tempatan,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit