Undilah Berasaskan Ilmu Dan Fakta… Jangan Berasaskan Fitnah Dan Auta – Dr Asyraf

GERIK, 16 Nov – Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menjadi pengajaran apabila Pakatan Harapan (PH) memperdaya rakyat dengan janji-janji palsu dan bulan bintang tetapi setelah menjadi kerajaan, mereka gagal penuhi.

Fitnah, manipulasi isu dan serangan berterusan menanamkan kebencian kepada Barisan Nasional (BN) menjadi mainan komponen PH yang terdiri daripada Dap, PKR, PPBM, Amanah dan Warisan.

Ketidakcekapan PH mentadbir negara mengakibatkan ekonomi negara merudum kesan hilang kepercayaan pelabur, politik huru-hara, hutang negara semakin meningkat, kedaulatan negara tergugat dan keharmonian kaum diperkotak-katikkan.

Tambah memeritkan, rakyat disuruh ikat perut dan jangan mengharapkan wang percuma dari kerajaan, bantuan dipotong serta pelbagai lagi kesukaran yang terpaksa dihadapi oleh rakyat dan akibat pertelagahan sesama parti di dalam PH, mereka hanya bertahan selama 22 bulan sahaja runtuh di atas tangan sendiri.

Justeru, pada PRU15 ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpesan kepada pengundi khususnya pengundi muda agar memilih kerajaan yang benar-benar membawa kestabilan dan seterusnya kemakmuran kepada rakyat serta negara.

“Yang penting kita mengundi jangan berasaskan emosi, sentimen benci, jangan hanya bergantung kepada fitnah dan tohmah yang hanya akan makan diri kita sendiri.

“Kita mengundi kerana kita hendak memilih kerajaan mana yang ada trek rekod boleh memastikan kestabilan dan kemakmuran itu direalisasi.

“Dan sebab itulah saya menyarankan pengundi-pengundi muda gunalah kebijaksanaan buatlah perhitungan berasaskan ilmu dan fakta, jangan berasaskan auta dan fitnah,” kata calon BN bagi Parlimen Gerik itu kepada UMNO Online.

Berhubung dengan kempen PRU di kawasannya itu, Dr Asyraf bersyukur kerana diterima dengan baik oleh rakyat dan juga jentera tempatan yang berkomitmen tinggi.

“Alhamdulillah, pendekatan kempen saya bukan sangat (adakan) ceramah tetapi menemui seberapa ramai pengundi-pengundi dari pelbagai kelompok sebab di Gerik ini ada pelbagai kelompok.

“Daripada rakyat yang pelbagai latar belakang, kakitangan kerajaan sehinggalah kepada pekerja kampung, penoreh getah dan sebagainya. Kita ada orang Asli, Siam, Cina, India dan ada juga pegawai-pegawai kerajaan, keselamatan, tenteram, PGA dan sebagainya.

“Kita ada pelbagai kelompok anak muda yang berparti dan tidak berparti, yang NGO (badan bukan kerajaan) dan tidak. Jadi ini kelompok yang perlu disantuni seberapa ramai yang mungkin kerana yang paling penting mereka mahu mengenali lebih dekat calon mereka,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit