Pilih Wakil Yang Benar-benar Bawa Suara Rakyat, Bukan Yang Hanya Pandai Bersandiwara

PASIR GUDANG, 16 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pasir Gudang Noor Azleen Ambros berharap pengundi dapat membuat keputusan yang tepat di dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Ujar Exco Pemuda UMNO Malaysia itu, rakyat perlu memilih wakil yang benar-benar serius membawa suara dan kepentingan mereka untuk menjadi wakil di Dewan Rakyat mahupun bagi mewakili kerajaan Persekutuan.

“Jadi wakil yang betul-betul memahami permasalahan, cabaran semasa mereka yang duduk di Pasir Gudang dan bagaimana wakil tersebut pemimpin yang mereka akan pilih betul-betul boleh memberi penyelesaian, baik untuk jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang dalam berdepan cabaran sebenar.

“Sebab itu pengundi kena sedar dan pengundi kena jelas pemimpin yang macam mana yang mereka nak. Kalau mereka yang hanya pandai bersandiwara, hanya menunggu isu-isu semasa, nasional tanpa betul-betul boleh memberi penyelesaian kepada permasalahan semasa penduduk Pasir Gudang, saya bimbang andaikata itu berlaku orang Pasir Gudanglah yang akan rugi,” ujarnya kepda UMNO Online.

Berhubung dengan pendekatan yang dilakukan bagi mendekati pengundi muda, Noor Azleen berkata pihaknya menggunakan pelbagai platform untuk menyampaikan maklumat yang tepat mengenai pentingnya memilih BN.

“Memang kita sedar pengundi muda adalah mewakili 54 peratus daripada keseluruhan 198 ribu pengundi di Pasir Gudang. Dari segi pendekatan, kempen kita guna semua platform termasuk ‘speaker corner’ di samping media sosial yang agresif menyampaikan mesej kepentingan kita untuk memilih wakil daripada BN.

“Pada masa yang sama isu-isu yang dibawa juga, perancangan masa depan, sudah tentulah orang muda mengharapkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk mereka. Soal berkenaan bagaimana hendak menangani kos sara hidup juga dekat di hati mereka dan paling mustahak pendidikan anak-anak kita ada beri perhatian,” katanya.

Begitu juga jelasnya, diterangkan juga kenapa perlunya sebuah kerajaan yang stabil.

“Dalam kita hendak merencanakan apa pun, lebih-lebih lagi hendak berhadapan dengan cabaran mendatang kita sangat-sangat perlukan kestabilan iaitu sebuah kerajaan yang kuat.

“Tanpa kestabilan dan kerajaan yang kuat, kita takkan mampu boleh berdepan dengan cabaran. Sebab itu kestabilan itu benar-benar penting kerana tanpa kestabilan, akan jadi haru-biru, hiruk-pikuk tetapi dengan kestabilan banyak perkara yang boleh diselesaikan,” tegasnya.

Pada PRU15 ini, Noor Azleen akan berhadapan dengan tiga lagi pesaing iaitu dari Perikatan Nasional (PN), Pejuang dan termasuk penyandang dari Pakatan Harapan (PH). – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit