Tok Muni Mahu Sektor Kesihatan Ditingkatkan Di Kubang Pasu, Percaya BN Mampu Lakukan

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hassan melihat perkhidmatan kesihatan di kawasan berkenaan perlu ditingkatkan seiring dengan populasi rakyat yang semakin hari semakin bertambah.

Menurut beliau perkara tersebut bukanlah satu perkara yang mustahil kerana kerajaan BN sebelum ini telah membawa pelbagai pembangunan serta penambahan infrastruktur lain untuk kemudahan warga Kubang Pasu.

“Justeru, perkhidmatan kesihatan dan perubatan Kubang Pasu harus ditingkatkan seperti naik taraf Hospital Jitra, klinik-klinik kesihatan dan komuniti  untuk menampung peningkatan populasi rakyat. Malah tidak kekok untuk kita cadangkan untuk sebuah Hospital di Bukit Kayu Hitam dibina bagi menampung pertambahan penduduk serta aktiviti ekonomi dari SBEZ.

“Perkara ini tidak mudah namun ia tidak mustahil. Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini telah membawakan pembangunan dan pemodenan di Kubang Pasu kerana kestabilan politik serta dasar dan polisi ekonomi yang realistik dan boleh dicapai.

“Dengan bakat dan pengalaman yang ada, Kerajaan yang ditadbir oleh BN diyakini berkemampuan untuk mencari jalan dan solusi ekonomi dan seterusnya solusi sosial dan kesihatan yang kita dambakan. Insya Allah,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Hasmuni yang juga Setiausaha Pemuda UMNO seterusnya berkata aset sebenar kepada kemakmuran Kubang Pasu  adalah rakyatnya dan rakyat yang sihat dan bahagia akan memastikan kemakmuran yang dicapai boleh berterusan malah bertambah.

“Untuk sentiasa sihat dan bahagia, rakyat Kubang Pasu harus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan. Kita harus permudahkan Mak Ayah kita mendapatkan nasihat doktor dan bekalan ubat-ubatan.

“Kita juga harus menggalakkan gaya hidup sihat dengan bersukan dan beriadah secara aktif kepada anak-anak muda Kubang Pasu agar mereka menjadi produktif di dalam pekerjaan.  Kita mahu para ibu dan wanita kita berasa tenang dan selamat untuk bersalin melahirkan anak serta mendapatkan rawatan,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit