Saya Akan Balas Kepercayaan Pengundi Sungai Buloh – KJ

 

KUALA LUMPUR, 15 Nov –  Orang ramai yang mengunjungi Uptown Kota Damansara malam tadi bukan sahaja dapat melihat calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin secara dekat malah dapat bersua muka dengan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kedua-dua pemimpin tersebut mengadakan ‘walkabout’ sekitar kawasan berkenaan dan beramah mesra dengan pengunjung sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 Sabtu ini.

Masing-masing yang berada di Uptown berkenaan mengambil kesempatan berswafoto dengan PM serta Khairy selain laungan gemuruh daripada mereka yang berada di Uptown berkenaan.

Ismail Sabri kemudiannya meninggalkan Khairy bersama hadirin yang menunggu ucapan di pentas bergerak BN Selangor.

Dalam ucapan ringkasnya, Khairy berharap pengundi di Sungai Buloh memberikannya undi serta kepercayaan bagi membolehkan beliau berkhidmat di kawasan tersebut.

“Saya minta tolong sangat orang Sungai Buloh untuk membawa perubahan… berdepan majoriti kemenangan pihak lawan 26,000 saya anggap misi awal ‘imposible’… namun setelah melihat malam ini kita mampu membawa perubahan,” katanya.

Kata beliau lagi tiga penggal yang dipegang oleh wakil rakyat sebelum ini tidak mampu untuk membawa perubahan.

“Tiga penggal tidak mampu selesaikan masalah di sini… cuma kali ini kita perlu berani buat perubahan… seminggu lebih di Sungai Buloh sekarang dah jatuh cinta.

“Saya akan balas budi… saya akan jaga Sungai Buloh dengan baik… kita bawa angin perubahan di sini dan kita mampu buat. Terima kasih kepada semua… jika diberi kepercayaan saya akan balas yang terbaik,” ujarnya lagi.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit