Bahang PRU15 Tidak Seperti PRU Lalu, Rakyat Tidak Lupa Pengalaman PRU14
REMBAU, 15 Nov – Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata bahang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak seperti PRU lalu dan ianya berlangsung dalam suasana yang cukup tenteram.
Berucap dalam perjumpaan bersama masyarakat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Paroi, beliau yang juga calon BN Parlimen Rembau berkata PRU lalu di mana-mana sahaja masyarakat mengambil peluang untuk berbahas antara satu sama lain.
“Alhamdulillah setelah seminggu tempoh berkempen, nampaknya PRU ke-15 kali ini tidaklah sepertimana PRU lalu… umpama gunung berapi meletup di mana-mana dan nampaknya kali ini tenang.
“Kerana saya yakin rakyat telah buat keputusan. Setahun dulu pun dah buat keputusan dah. Warung atau kedai makan sembang politik tidak seperti dahulu… dulu sampai berbahas tetapi kali ini tenang kerana rakyat telah matang dan telah buat keputusan dan membuat penilaian sewajarnya,” katanya.
Kata beliau lagi rakyat khususnya pengundi tidak mahu lagi ditipu sekali lagi oleh Pakatan Harapan (PH) pada PRU kali ini.
“Janji-janji manis bulan bintang dan janji ditabur PH semasa PRU lalu… apa sahaja yang tidak dijanjikan… minyak… soal PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan sebagainya. Jadi rakyat amat kecewa dan tertipu serta amat marah mereka dipermainkan sebegitu rupa.
“Jadi PH tidak berani janji lagi dah… yang ada sekarang laga-lagakan orang antaranya BN menang Datuk Seri Ahmad Zahid jadi PM (Perdana Menteri) dan akan lepaskan diri. Dalam soal ini UMNO dan BN telah buat keputusan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri (Ismail Sabri Yaakob) jadi calon ‘poster boy’ PM.
“Jadi jangan kita terikut sangat dan mereka tidak ada modal sekarang ini… raja fitnah zaman ini itulah kerjanya… fitnah.. fitnah.. fitnah,” ujarnya.- UMNO Online