Tidak Terjejas Satu Lawan Satu, Bung Moktar Yakin BN Menang
SEMPORNA, 14 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin mampu mempertahankan kerusi itu dan tidak akan terjejas dengan saingan sengit satu lawan satu di kawasan itu.
Jelasnya, dengan pengalaman beliau selama enam penggal menjadi wakil rakyat berkenaan, sudah pasti akan dapat memberi keyakinan kepada pengundi yang tahu dirinya seorang pemimpin yang sentiasa berkhidmat untuk rakyat.
“Walau saya tidak ada di kawasan dan berbagai kempen dilancarkan termasuk oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak berdaftar tetapi saya tetap yakin dengan sokongan rakyat Kinabatangan.
“Rakyat tahu menilai yang mana kaca mana permata, mana emas mana pasir, mereka tahu dan biarlah saya tidak kisah kumpulan-kumpulan seperti nyamuk yang berkeliaran kerana rakyat pun tidak akan menyokong kenyataan mereka,” katanya, hari ini.
Pada PRU15 bagi kerusi Parlimen Kinabatangan, Bung berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Warisan Mazliwati Abdul Malek.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan yang masyarakat Bugaya perlu mencontohi penduduk di Parlimen Kimanis yang nekad mahu perubahan dengan memilih pemimpin BN.
“Saya ingin mencabar orang-orang Semporna, orang-orang Bugaya supaya bangkit daripada tidur, sudah bertahun tidur dan tidak menyedari betapa perlunya di Bugaya ini diwakili wakil rakyat dari kerajaan,” katanya.
Tambahnya lagi, peluang perlu diambil kali ini dengan mengubah pentadbiran di DUN Bugaya agar tidak terus ketinggalan berbanding kawasan lain.
“Melalui kemenangan calon kerajaan wakil BN ini sudah tentu banyak pembangunan dan ekonomi akan dibawa, jadi sebab itu saya kata peluang ini kalau tidak diambil oleh orang Semporna oleh orang Bugaya sudah tentu kerugian besar bagi mereka.
“Jika calon BN menang esok lusa kita akan bina rumah di kawasan Bangau-Bangau, dan lain-lain hal yang disuarakan penduduk tapi perlu bagi kemenangan kepada calon BN dahulu,” katanya lagi. – UMNO Online