Rakyat Bijak Menilai Apa Yang Dilakukan PH Ketika Perintah Negara – SH Puzi

PEKAN, 14 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pekan, Datuk Seri SH Mohmed Puzi SH Ali berkata dalam tempoh Pakatan Harapan (PH) berkuasa, rakyat dapat merasa dan menilai apa yang mereka lakukan sepanjang 22 bulan.

Jelasnya, sepanjang mentadbir negara mereka sengaja memburukkan BN bagi menutup kelemahan-kelemahan semasa menjadi kerajaan yang gagal.

“Apa yang dibuat oleh PH sepanjang 22 ini rakyat menilai, apa yang dilakukan… rakyat pun tahu. Sekali-sekala boleh berselindung di sebalik tadbir tapi apabila berlindung di sebalik tadbir dengan harapan rakyat tidak mengetahui.

“Dunia hari ini dunia multimedia berbagai-bagai media sosial ada dan satu hari rakyat juga akan tahu sebab apabila menipu sekali tetapi tidak boleh menipu banyak kali. Apabila menipu banyak kali maka rakyat akan sedar.

“Masuk jerat sekali kalau masuk dua kali boleh tahan lagi. Kalau masuk tiga kita jatuh dengan orang yang ‘bodoh’,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Seterusnya SH Puzi menjelaskan tempoh pentadbiran PH itu sebagai iktibar bahawa salah satu punca ialah melantik ahli kabinet yang kurang berpengalaman dan kadang-kadang terlampau baharu dalam pengurusan.

“Kerajaan terdahulu yang ada di dalam kabinet adalah mereka yang tidak ada pengalaman dari segi pengurusan negara. Kita perlu ada orang yang berpengalaman mengurus negara, dengan cara itu dapat menggunakan apa kepakaran yang ada untuk membolehkan mentadbir negara dengan lebih baik.

“Memang betul dari segi politik mereka mahir tetapi kemahiran politik tidak menjamin kesejahteraan negara kerana kesejahteraan negara ini bergantung dengan pengalaman dan apa yang hendak dibawa,” jelas beliau.

Justeru kata SH Puzi lagi, paling penting kerajaan yang bakal dipilih ini adalah BN yang mempunyai trek rekod yang cemerlang dan memikirkan kehidupan rakyat.

‘Trek rekod dapat membuktikan bahawa kerajaan yang bakal dipilih ini perlulah kerajaan yang mempunyai tahap rekod pencapaian yang terbaik.

“Kita juga memikirkan bahawa dalam keadaan politik sekalipun tetapi akhirnya akan memikirkan kesejahteraan negara.

“Rakyat hendak lihat negara ini stabil dari segi politik, ekonomi dan paling penting dapat manfaat daripada dasar-dasar yang dilaksanakan,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amn Adnan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit