PRU15: BN Yakin Dapat ‘Cross The Bridge’ – Tok Mat

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Pelbagai laporan positif yang diterima oleh Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh berkempen selepas proses penamaan calon memberikan keyakinan kepada parti itu untuk melepasi angka 112 dalam membentuk kerajaan.

Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru para jentera untuk terus bekerja lebih keras bagi mengeluarkan ‘pengundi putih’ semasa hari pengundian.

“Saya sukacita melihat keadaaan di bawah dan laporan-laporan yang saya terima semuanya menunjukkan tanda positif. Setakat hari ini saya boleh katakan kedudukan BN adalah lebih baik berbanding PRU ke-14 lalu.

“Jentera mesti bekerja kuat untuk kita pastikan semasa hari pengundian kita dapat mengeluarkan semua pengundi yang pasti bersama dengan kita. Kita ada semua data tersebut dan sekiranya kita berjaya, maka saya yakin UMNO/BN akan cross the bridge untuk membentuk kerajaan,” katanya pada satu sidang media yang diadakan di Menara Dato’ Onn, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO itu turut berharap agar kejayaan UMNO/BN dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas tahun 2019 terus dikekalkan menjelang PRU ke-15 ini.

“Alhamdulilah setakat ini kempen berjalan dengan amat baik. Bahkan ia amat tenang sekali, tidak seperti semasa PRU ke-14 pada tahun 2018 lalu. Perkara ini berlaku disebabkan para pengundi sudah lama membuat keputusan, parti mana yang mereka akan sokong.

“Selepas tahun 2019, UMNO/BN telah berjaya memenangi tujuh PRK dan diikuti pula dengan beberapa PRN. Saya mengharapkan pola dan pattern ini akan dapat diteruskan serta diterjemahkan pada PRU yang akan datang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamad Hasan turut berkongsi status terkini gerak kerja jentera parti itu setelah memasuki minggu kedua selepas penamaan calon yang dilihat berjalan lancar.

“Berkenaan dengan status terkini PRU bagi UMNO/BN, saya sukacita ingin melaporkan bahawa gerak kerja jentera kami nampaknya berjalan lancar dan bergerak dengan baik seperti yang kita susun.

“Saya juga telah mengarahkan command centre untuk membuat surat pekeliling supaya gerak kerja jentera diperkemaskan lagi sebab kita dah memasuki minggu kedua berkempen. Tinggal empat hari lagi untuk kita selesaikan semua kerja.

“Dalam proses menyantuni para pengundi yang kita kenal pasti bersama dengan kita, sebenarnya kita sudah bergerak lama selepas kalah pada PRU ke-14 lalu. Kami menyusun gerak kerja dan akhirnya pada saat ini berada dalam keadaan naratif PRU ke-15,” katanya lagi.

Sebelum PRU ke-14, Pakatan Harapan (PH) sentiasa mencanang kononnya mereka mampu mentadbir negara lebih baik berbanding UMNO/BN. Pelbagai janji manis ditabur pada setiap pilihan raya sehinggakan rakyat terpedaya dan akhirnya UMNO/BN tewas.

Namun selepas beberapa bulan memerintah, Kerajaan PH dilihat mengamalkan sikap tidak peduli tentang keluhan rakyat berkaitan kos sara hidup dan beban seharian sedangkan semasa menjadi pembangkang dahulu, mereka cukup lantang mengkritik Kerajaan UMNO/BN. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit