PRU14 Rakyat Kesal Undi PH, Enggan Buat Silap Lagi

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Ramai pengundi muda yang menyesal mengundi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya umum ke-14 (PRU-14), sekali gus menegaskan tidak mahu memberi peluang sekali lagi kepada parti itu pada kali ini.

Nor Azlin Muda ketika ditemui mengaku beliau antara pengundi yang memangkah PH pada PRU lalu dengan harapan PTPTN dapat dimansuhkan, tetapi ia hanyalah janji manis semata-mata.

“Saya undi PH memang nak PTPTN itu dimansuhkan, saya termakan dengan janji mereka. Tetapi bila dah menang, lain pula jadinya.

“Nak saya pangkah lagi kali ini? Saya takkan terpedayalah,” katanya.

Pada PRU-14, PH menjanjikan beberapa tawaran menarik di dalam manifestonya, termasuklah pemansuhan PTPTN, menghapuskan tol dan penurunan harga minyak.

Begitu juga dengan seorang lagi pengundi, Siti Kamariatul Ahmad turut menjelaskan, beliau hanya melihat PH memperjuangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi calon Perdana Menteri, dan ia disifatkan perjuangan terhadap seorang individu semata-mata dengan cuba mendapatkan mandat daripada keseluruhan masyarakat termasuk pengundi muda.

“Saya merupakan pengundi kali pertama, dan pada suatu ketika dulu Datuk Seri Anwar datang ke universiti saya (tidak dinamakan), berucap hanya bercakap tentang ‘saya akan menjadi Perdana Menteri tidak lama lagi, Tun Mahathir Mohamad akan letak jawatan dan menyerahkan kepada saya’, jadi saya dan rakan-rakan berfikir yang beliau hanya bercakap tentang kepentingan dia.

“Tidak langsung bercakap tentang perjuangan beliau untuk mahasiswa seperti kami, saya tidak suka dan disebabkan itu, saya tidak akan undi PH,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, seorang lagi pengundi Rainir Munsir berkata, janji PH sememangnya retorik dan beliau tidak akan terpedaya kali ini.

“Logikkah? Hari ini menang, esok harga minyak turun? Mereka belum jadi kerajaan lagi, bolehkah mereka laksanakan sebegitu rupa? Orang menunggu, bila haga tidak turun, orang marah, mereka rasa tertipu.

“Undi dah bagi, tapi mana ‘hadiah’ untuk mereka? Rasa orang nak percaya lagikah? Takkan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit