Visi Maslin Sham Tingkatkan Kadar Pelancong Di Kuala Kangsar, Selaras Perak Sejahtera 2030

KUALA KANGSAR, 13 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Kangsar Datuk Maslin Sham Razman mempunyai visi di dalam sasaran Perak Sejahtera 2030 iaitu mahu meningkatkan kadar pelancongan masuk ke bandar Diraja itu.

Ini kerana kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan itu, segala kemudahan dan infrastruktur banyak telah diselesaikan atas bantuan kerajaan pusat ketika di bawah pimpinan Perdana Menteri Keenam Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dengan memberi peruntukan hampir RM160 juta.

“Cuma saya punya visi adalah untuk meningkatkan kadar pelancongan masuk ke Kuala Kangsar ini dan bukan hanya masuk tetapi tinggal buat seketika untuk melancong di Kuala Kangsar ini.

“Ini kita kena beri tumpuan yang lebih kerana dalam sasaran Perak Sejahtera 2030 telah menggariskan daerah Kuala Kangsar ini bakal diberi tumpuan penggalakan pelancongan dan industri yang berkaitan pelancongan harus dititikberatkan,” ujarnya kepada UMNO Online.

Tambahnya lagi, selain itu katalis kemajuan dan kemakmuran di Kuala Kangsar disebabkan wujudnya institut pengajian tinggi swasta (IPTS) iaitu Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), yang terletak di Bukit Chandan, di sini.

“Dan selain itu, kita melihat katalis kemajuan di Kuala Kangsar ini disebabkan oleh kehadiran IPTS USAS yang mana telahpun membawa masuk pelajar-pelajar lebih daripada sepuluh ribu orang.

“Jadi, tentulah ia menjadi katalis kepada pergerakan ekonomi yang ada di Kuala Kangsar. Jadi, hajat di hati ini besar tetapi mungkin boleh dicapai supaya dapat wujudkan satu lagi IPTA (institut pengajian tinggi awam) atau IPTS yang berpangkalan di Kuala Kangsar ini. Jadi, proses hiliran akan bergerak dari sosial dan ekonominya.

“Alhamdulillah semenjak ada USAS kita nampak industri hartanah semakin meningkat dan bidang perkhidmatan seperti makan, peruncitan kerana permintaan ada. Dan pelajar-pelajar ini berbelanja sepanjang pengajian mereka. Jadi, sudah tentulah penerima nikmatnya adalah peniaga-peniaga yang ada di sini dan pemilik-pemilik rumah yang mewujudkan hostel, sewaan termasuklah sewaan kenderaan yang nampaknya semakin mengalakkan,” katanya lagi.

Berhubung dengan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Maslin Sham berkeyakinan mampu mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar kepada BN berdasarkan komitmen jentera dan jumlah pengundi yang mencukupi bagi memastikan kemenangan BN.

Pada PRU15 ini, Maslin Sham akan berhadapan dengan calon dari Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Pejuang. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.