Proses Demokrasi Pilih Kerajaan Terbaik Untuk Rakyat Dan Negara – Khaled

 

KOTA TINGGI, 13 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata proses demokrasi membolehkan sesebuah kerajaan yang dipilih adalah yang terbaik untuk rakyat dan negara.

Justeru katanya yang juga Naib Presiden UMNO, pertandingan dalam pilihan raya bukanlah untuk mencapai kemenangan semata-mata tetapi ianya juga adalah kemenangan untuk rakyat.

“Proses demokrasi membolehkan kita  memilih sebuah kerajaan yang terbaik. Apabila kita  bertanding ianya bukan semata-mata calon  sekadar untuk menang,  tetapi kemenangan itu juga haruslah membawa kemenangan kepada rakyat.

“Dengan kemenangan itu rakyat akan terjamin  dan mempunyai pembelaan selain perancangan dengan masa depan yang lebih baik, dengan kemajuan, perubahan dan sebagainya lagi,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu beliau beramah mesra bersama masyarakat setempat di Dataran Kejat, Felcra Sg Ara, di sini.

Dalam pada itu, beliau seterusnya menegaskan rakyat bukan sahaja boleh menilai malah boleh membuat perbandingan pelbagai tawaran oleh semua parti politik di negara ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kali ini.

“Kita percaya masyarakat bukan sahaja boleh membuat perbandingan terhadap semua manifesto yang telah dibentangkan oleh parti politik yang bertanding malah saya turut percaya rakyat juga ada pengalaman bagaimana beberapa parti politik yang membentangkan manifesto akhirnya mereka tidak laksanakan sebaliknya mengatakan manifesto bukan kitab.

“Jadi di sinilah saya nak tekankan BN  sangat bertanggungjawab  dan memang akan laksanakan.Kalau kita lihat manifesto kita cuba mengurus perkara-perkara  yang hari ini menjadi cabaran kepada masyarakat.

“Antaranya ialah kos hidup, kemudiannya  manifesto juga akan menentukan bagaimana  selepas lima tahun yang sememangnya akan berlaku perubahan seperti soal pendidikan, soal kedudukan wanita dan sebagainya.” – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit