Kerjasama GRS, BN Sabah Yakinkan Rakyat, Peroleh Mandat PRU-15
SABAH, 13 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Libaran, Datuk Suhaimi Nasir yakin kemenangan akan berpihak kepada mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan usaha sama rakan parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti komponen BN.
Katanya, dengan kerjasama itu, sudah pasti ia dapat meyakinkan masyarakat Sabah keseluruhannya, sekali gus tidak akan memberi ruang dan peluang kepada pihak lain untuk peroleh kemenangan.
“Saya rayu demi masa depan rakyat Libaran. Kita tidak mahu salah pilih dan mengulangi apa yang terjadi pada pilihan raya umum lepas.
“Jadi saya seru jentera BN dan GRS untuk bergabung tenaga seerat mungkin. Jangan sampai ada dusta diantara kita,” jelasnya.
Tambah Suhaimi, pihaknya akan terus menggerakkan jentera sehingga 19 November agar penerimaan masyarakat khususnya pengundi muda terus meningkat, sekali gus undi berpihak kepada parti itu.
Dalam hal ini, jelas Suhaimi lagi, beliau akan memastikan tiada satu pun kelompok masyarakat di Libaran yang tercicir daripada disantuni dan dilawati.
“Sehingga ke hari ini, kita sudah lawati hampir ke semua kawasan cuma di ada beberapa pulau termasuk Libaran, Nunuyan dan Pamaguan.
“Semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) juga telah kita lawati kecuali terdapat beberapa kelompok kecil masyarakat yang akan kita temui selepas ini.
“Dalam masa terdekat juga, kita akan santuni anak muda. Kita mahu meminta sokongan setiap pengundi Libaran kerana setiap undi adalah berharga,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beliau menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada Suhaimi, namun mahu jentera BN dan GRS tidak mengambil mudah peluang yang ada.
“Saya juga berharap agar peluang dan potensi BN memenangi kerusi Libaran akan turut dikecapi di kawasan lain termasuk Kinabatangan, Sandakan, Batu Sapi dan sebagainya,” katanya. – UMNO Online