BN Optimis Mampu Rampas Kerusi Setiu
TERENGGANU, 13 Nov – Agenda kesejahteraan rakyat yang dibawa calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Mat Yasin selaras dengan manifesto parti itu yang diumumkan baru-baru ini.
Katanya, perjuangan tersebut adalah keutamaannya bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus dibela parti keramat itu.
“Sudah tentu isu seperti peningkatan kos sara hidup, penjagaan kesihatan dan pemerkasaan kawasan luar bandar menjadi keutamaan bagi penduduk khasnya golongan B40.
“Melihat kepada kerja keras jentera di semua peringkat termasuk akar umbi, saya optimis BN mampu merampas kerusi Parlimen Setiu.
“Untuk menjadi ‘suara’ di Dewan Rakyat adalah tanggungjawab besar, namun saya sedia menggalas amanah itu jika memenangi PRU kali ini,” jelasnya.
Pada PRU-15 kali ini, Abdul Rahman akan berdepan tentangan calon Pas yang juga penyandang, Shaharizukirnain Abd. Kadir, Mohamad Ngah (Pakatan Harapan) dan Wan Adnan Wan Ali (Pejuang).
Untuk rekod, empat tahun lalu, calon BN, Datuk Mohd. Jidin Shafee tewas dengan majoriti 2,802 undi kepada Shaharizukirnain.
Abdul Rahman menjelaskan, kehadiran pengundi pertama kali serta faktor pengundi atas pagar diyakini mampu membantu kemenangan BN di Parlimen Setiu. – UMNO Online