Usaha Kelirukan Pengundi… Jangan Dengar Bulat-Bulat – Hishammuddin

 

SEMBRONG, 12 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein percaya pihak lawan akan melontarkan pelbagai dakwaaan serta tohmahan pada fasa kedua tempoh berkempen Pilihan Raya Umum (PRU)  ke-15 kepada BN dalam usaha mengelirukan pengundi.

Tidak mustahil juga kata beliau yang juga Bendahari BN, pada saat-saat akhir pelbagai manipulasi serta fitnah akan timbul dan rakyat telah melaluinya pada PRU yang lalu.

“Fasa kedua tempoh berkempen dan menjelang saat-saat akhir jangan dengar bulat-bulat  apa yang mereka cakap kerana dia orang tahu pada penghujung nanti tidak ada masa untuk menjawab. Tetapi tengok dari segi ‘track record’ sebelum ini pun banyak perkara yang dilontarkan akhirnya merupakan fitnah… akhirnya merupakan perkara yang boleh kita jawab.

“Saya percaya mereka akan lontarkan macam-macam dakwaan, tuduhan tetapi akhirnya tidak ke mana pun tuduhan-tuduhan ini dan kita pernah melaluinya masa PRU lalu… kita dah laluinya sebelum parlimen dibubarkan dan selepas parlimen dibubarkan.

“Sekarang ini kita dah laluinya selepas penamaan calon dalam tempoh berkempen. Jadi hujung-hujung itu yang paling penting pastikan jentera kita dah sedia,” katanya.

Terdahulu beliau mengadakan perjumpaan bersama jentera di PDM Sri Lambak dan beberapa PDM yang lain.

Hishammuddin seterusnya menambah kempen pihak lawan seolah-olah tidak berubah dan hanya tertumpu kepada tohmahan dan sebagainya dalam usaha meraih undi.

“Cara berkempen mereka tidak berubah daripada dahulu. Hendak mengaburi mata rakyat, cuba memecahbelahkan dan menanam kebencian serta politik dendam. Kadangkala orang yang tidak tahu boleh keliru… tetapi PRU yang lalu mereka dah diberikan peluang.

“Jadi rakyat kali ini boleh buat perbandingan dan saya tengok sendiri dan melihat jentera-jentera kita daripada PDM-PDM bukan sahaja ada perubahan dikalangan pelbagai kaum dan begitu juga golongan muda anak-anak Sembrong saya tengok semangat mereka memang baik.

“Saya harap ini dapat diteruskan dalam fasa kedua kempen kita menjelang 19 Nov nanti dan saya mendoakan  bahawa momentum yang saya lihat di Sembrong ini sama juga di kawasan-kawasan lain yang ditandingi oleh calon-calon BN,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.