PRU15 Masa Betulkan Balik, Jadikan PRU Lalu Pengalaman Bermakna – Khaled
KOTA TINGGI, 12 Nov – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata inilah masanya untuk rakyat terutama para pengundi yang terpengaruh dengan segala manipulasi pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu membuat pembetulan dengan memilih sebuah parti yang benar-benar mampu melaksanakan segala janji yang ditawarkan.
Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Tinggi seterusnya berkata BN adalah sebuah parti yang bertanggungjawab dan manifesto yang ditawarkan adalah janji yang mampu dilaksanakan.
“PRU yang lalu bersandarkan persepsi dan akhirnya BN kalah dan inilah peluang kita semua untuk menebus kembali… manifesto telah dibentang oleh pelbagai parti..namun kali ini mereka tidak ketengahkan sangat manifesto.
“BN adalah sebuah parti bertanggungjawab…apa yang kita tawarkan di dalam manifesto sebahagiannya dah ada dalam bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri…manifesto yang boleh dilaksanakan.
“Ada 99 perkara yang dibentangkan dan inilah peluang untuk kita tebus kembali…kita keluarkan manifesto yang lebih bertanggungjawab. Jadi di sinilah bezanya kerana BN mahu pastikan lima tahun yang stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sedili Kecil, di sini.
Kata Khaled lagi, kewujudan sebuah kerajaan yang stabil sangat penting untuk negara dan tentunya untuk rakyat.
“Ini penting dan jika di sini ada masalah, kerajaan tidak boleh fokus kepada negara dan rakyat.
“Kita boleh lihat kerajaan sebelum ini tidak stabil akibatnya ekonomi terjejas, pelaburan terganggu… keadaan ini tidak boleh diteruskan kerana akhirnya negara kita akan tertinggal dan selepas ini cabarannya banyak dan cabaran ini hanya boleh ditangani dengan sebuah kerajaan yang stabil.
Jadi saya harap gunalah peluang yang sebaiknya dengan memilih BN pada 19 Nov nanti,” ujarnya. – UMNO Online