Berpolitik, Berparti Jangan Sampai Jatuhkan Hukuman Syurga Neraka Kepada Orang Lain – Dr Asyraf

GERIK, 12 Nov – Berpolitik dan berparti jangan sampai menjatuhkan hukuman syurga neraka kepada pihak lain kerana inilah sebenarnya yang menjadi punca kepada kehancuran, kebobrokan dan perpecahan umat terutama di Malaysia bertahun-tahun lamanya.

Demikian tegas Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, respon kepada tular video terkini yang diucapkan oleh Pemuda Pas Sik yang memberi amaran pengundi akan ‘masuk api neraka’ sekiranya memilih Pakatan Harapan (PH) dan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Ujar Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) itu, polemik tersebut berjaya dirungkai apabila wujud Muafakat Nasional tetapi malangnya Muafakat Nasional tidak dapat diteruskan apabila Pas memilih untuk bersama dengan Perikatan Nasional dan seharusnya boleh dikekalkan semangat muafakat itu dengan cara meletakkan satu garis sempadan.

“Tak perlulah kita berkempen dengan menawarkan pakej syurga dan neraka. Ini modal setiap kali musim pilihan raya. Saya kira mesti ada sempadan dan batasan dalam kita berpolitik.

“Kita bukan berpolitik sehingga kita hendak meruntuhkan persaudaraan. Kita bukan berparti sehingga hendak meranapkan perkara-perkara yang boleh menjadi faktor untuk menyatukan ummah.

“Dalam konteks ini, biarlah soal akidah, agama ini kita letak sebagai satu panduan yang lebih tinggi daripada kepartian,” kata Dr Asyraf yang juga calon BN Parlimen Gerik di dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Jelasnya lagi, urusan yang melibatkan syurga neraka adalah hak mutlak Allah SWT.

“Jangan kita mengambil tugas, peranan Tuhan kerana hatta Nabi SAW sendiripun tidak mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang Nabi sayang mendapat petunjuk hidayah Allah atau sebaliknya.

“Kita tahu dalam peristiwa Abu Talib bapa saudara Nabi umpamanya di saat akhirpun Abu Talib tidak mengucap dua kalimah syahadah ketika Nabi merintih dan menangis mengenangkan kenapakah bapa saudaranya itu tidak mahu mengungkapkan syahadah.

“Maka Tuhan turunkan ayat al-Quran Allah menyebut (mafhumnya): “Sesungguhnya engkau wahai Muhammad, tidak ada kuasa untuk menentukan orang yang kamu sayang sekalipun mendapat hidayah daripadaNya, kerana hanya Allah sahaja yang boleh menentukan siapa sahaja yang mendapat petunjuk daripadaNya”,” katanya yang berharap ia menjadi sempadan yang penting.

Justeru Dr Asyraf berpandangan adalah lebih baik jika diambil pendekatan menawarkan apakah polisi, dasar dan perancangan yang baik untuk ditawarkan kepada rakyat.

“Hari ini BN tidak memilih untuk berkempen membenci, memfitnah dan menghukum orang lain. Kita memikirkan apakah tawaran yang terbaik untuk kita membina semula negara setelah berada empat tahun setengah di dalam kecelaruan dan ketidakstabilan.

“Sebab itulah motto manifesto kita adalah kestabilan dan kemakmuran. Bagi Barisan Nasional, inilah kelebihan yang kita ada. Kita pengalaman yang panjang, trek rekod.

“Kita ada kelebihan dari segi kepakaran calon-calon kita yang ditampilkan adalah gandingan mereka yang berpengalaman sebagai menteri pernah berada di dalam anggota pentadbiran kerajaan dengan mereka yang segar, baru, yang boleh memberikan suntikan baru kepada wajah Barisan Nasional untuk berkhidmat dan membela rakyat,” ulasnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit