UMNO/BN Perlu Bekerja Lebih Keras, Tarik Undi Anak Muda ‘Atas Pagar’ – Shahril

ALOR GAJAH, 10 Nov – UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu bekerja lebih keras untuk menarik undi anak muda yang ‘atas pagar’ bagi memenangkan parti dalam menuju hari pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ketua Penerangan UMNO yang juga calon BN bagi kawasan Alor Gajah, Shahril Hamdan berkata, realiti tersebut perlu diterima oleh parti dan usaha untuk mengembalikan kepercayaan anak muda perlu digiatkan.

“Saya melihat anak muda bukan sahaja di Alor Gajah, kebanyakan mereka adalah ‘fence sitters’ namun itu tidak bermaksud mereka tidak mengambil tahu isu politik.

“Mereka ini tiada kesetiaan ataupun sayang kepada mana-mana parti dan itu ialah realiti sekarang ini. Perkara itu barangkali tidak akan berubah sebab orang muda pada hari ini melihat bahawa politik ini adalah sesuatu yang patut berkhidmat kepada mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata, UMNO/BN tidak boleh berada di takuk yang lama untuk memperoleh sokongan anak muda.

“Kalau dahulu, UMNO/BN dilihat sebagai parti yang mewakili mereka tetapi sekarang saya sebagai pemimpin muda dalam parti, saya beritahu kepada pemimpin senior dalam parti kita tidak boleh anggap perkara itu akan berlaku.

“Lupakan sebab kita kena sentiasa cuba menang sokongan anak muda dan tidak boleh sesekali selesa dengan keadaan sedia ada.

“Kalau kita jujur dengan diri sendiri, Lima atau sepuluh tahun ke belakang ini ahli politik tidak disanjung dan dihormati seperti dulu. Saya tidak minta disanjung tetapi profesion politik itu sendiri dipandang serong oleh anak muda dan kita tidak boleh menyalahkan mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shahril turut bertekad untuk menyelesaikan masalah asas yang berlaku di Parlimen Alor Gajah sekiranya beliau dipilih menjadi Ahli Parlimen.

“Saya lihat di Parlimen Alor Gajah ini kalau tanya sesiapa sahaja mesti jenis permasalahan dan isunya tidak lari jauh. Isu infrastruktur, tebatan serta pengurusan banjir, isu-isu asas seperti jalan dan sebagainya. Tetapi selangkah selepas itu ialah untuk memastikan kawasan ini hidup.

“Bagaimana nak memastikan ekonomi anak muda boleh lebih tinggi, soal pendapatan, peluang pekerjaan kerana kawasan ini telah pun berkorban dengan menjadi kawasan tadahan. Tetapi, itu tidak menjadi alasan untuk wakil rakyat tidak berusaha untuk pastikan ada aktiviti ekonomi baharu dijana di sini,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, sekiranya ekonomi kawasan tersebut masih kekal dengan apa yang sedia ada, itu mungkin membawa maksud bahawa wakil rakyat dan ahli parlimen tersebut tidak berfungsi dengan baik.

“Kalau kekal dengan sedia ada, saya rasa itu bukan wakil rakyat parlimen yang berfungsi dengan sebaiknya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan buat kerja-kerja mereka tetapi seorang Ahli Parlimen tidak boleh buat kerja yang seratus-peratus serupa dengan mereka.

“Betul, kita kena bergelumang dengan masyarakat tetapi sepatutnya KPI kita perlu lebih tinggi. Dengan rakyat itu satu, tetapi dengan pemimpin parti saya sendiri sebab orang UMNO/BN dah lama turun ke kawasan.

“Jadi, mereka tahu apa isunya dan nampak sudut mana yang mungkin lebih baik kalau diberi sekali lagi peluang untuk memimpin kawasan ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.