Respon Rakyat Cukup Positif, BN Mampu Rampas Semula Wangsa Maju
KUALA LUMPUR, 10 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah berkata beliau mendapat maklum balas yang amat positif daripada rakyat sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Uajrnya, pesanan Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepadanya dan seluruh jentera juga menjadi azimat untuk pihaknya berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan.
“Setakat ini Alhamdulilah (sambutan rakyat) sebab kita sudah pergi kepada semua kaum daripada kaum Melayu, India, Cina dan juga yang lain-lain. Setakat ini di mana sahaja saya pergi nampaknya sambutan cukup baik terutama kita nampak kaum Cina pun menunjukkan respon yang sangat positif.
“Insya-Allah, saya telah lama berkhidmat di Wangsa Maju agak lama walaupun saya kalah pada 2013. Sejak itu saya bertungkus-lumus… walaupun kalah di dalam PRU saya tetap memberi khidmat kepada rakyat,” katanya kepada media selepas program ramah mesra bersama Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kompleks Yayasan Wangsa Perdana di sini, Rabu malam.
Tambahnya lagi, selain menampilkan manifesto BN yang diumumkan oleh Ahmad Zahid pada Isnin lalu, Shafei juga berkata beliau akan menghidangkan manifesto khusus untuk rakyat Wangsa Maju yang akan diumumkan pada minggu hadapan.
Manifesto tersebut juga katanya adalah berdasarkan hasil dapatan daripada kunjungan-kunjungannya ke kawasan sekitar Parlimen.
Manakala di dalam ucapannya, Ketua UMNO bahagian itu turut mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh presiden kepadanya dan begitu juga dengan usaha jentera bagi memastikan kemenangan BN.
“Terima kasih kepada presiden kerana telah memberi amanah dan tanggungjawab kepada saya untuk menjadi calon di Wangsa Maju ini dan untuk mempastikan kita ambil balik kerusi Parlimen ini.
“Terima kasih juga kepada semua yang menjadi tenaga penggerak sama ada dari UMNO, MIC, MCA, NGO (badan bukan kerajaan) dan pelbagai kelompok yang sedia membantu BN,” ujarnya.
Pada PRU15 ini, Shafei akan berhadapan dengan calon dari Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Pejuang, Warisan dan bebas.
Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wangsa Maju mempunyai seramai 120,323 pengundi berdaftar. – UMNO ONLINE