PADU Nyata ‘Padu’… Pilih UMNO/BN Untuk Realisasikannya – Sulaiman
ALOR GAJAH, 11 Okt – Rakyat serta para pengundi diminta untuk meneliti 99 tawaran yang diberikan oleh Barisan Nasional (BN) menerusi manifesto Perancangan Amal Dan Usaha (PADU) bagi menjadi garis panduan dalam menentukan kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, manifesto yang dibentangkan oleh parti itu sangat realistik dan mencakupi segenap lapisan masyarakat.
“Alhamdulilah, PADU memang padu. Jadi, saya melihat kepada 99 tawaran yang mahu diberikan kepada rakyat pada kali ini maka, saya berharap agar rakyat ambil, lihat dan teliti betul-betul. Manifesto ini cukup realistik.
“Manifesto ini melintasi dan melewati segenap spektrum yang ada untuk semua golongan tidak mengira sesiapa pun,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu turut meminta rakyat untuk menggunakan kuasa mereka sebagai pengundi bagi merealisasikan manifesto tersebut.
“Sebagai rakyat, sila gunakan hak anda sebagai hak anda sebagai pengundi. Insya-Allah manifesto ‘padu’ yang pada saya sangat realistik boleh kita capai dalam masa lima tahun ini.
“Pada saya, ia cukup memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia tidak mengira bangsa sekali pun. Jadi undilah UMNO/BN pada PRU ke-15 kelak,” katanya lagi. – UMNO Online