Noraini Azam Tingkatkan Lagi Pencapaian Masyarakat Di Parit Sulong
PARIT SULONG, 10 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad beriltizam untuk meningkatkan lagi pencapaian yang telah dibawa serta dibangunkan di kawasan berkenaan agar masyarakat di Parit Sulong terus mendapat limpahan faedah.
Menurut beliau segala pelaksanaan dan pencapaian sebelum ini perlu ada kesinambungan yang berterusan agar segala perancangan serta pelaksanaan tidak terhenti di tengah jalan.
“Kita lihat ada beberapa perkara kita boleh bahagikan… pertamanya pembangunan usahawan, pendidikan serta kebajikan. Ketiga-tiga ini menjadi fokus utama di Parit Sulong iaitu pendidikan tinggi dah ada cumanya pengisian belum lagi dilaksanakan sepenuhnya dan insya-Allah jika BN menang kita akan laksanakan pelbagai pengisian.
“Selain itu kebajikan juga akan diberi tumpuan termasuklah B40 dan M40 serta pelbagai peringkat kumpulan lain. Aspek keusahawanan sebelum ini, kita banyak juga bantu usahawan-usahawan dan ini akan kita tingkatkan sebab kita ada mini halal hub dan pengisian cukup penting. Insya-Allah kita akan tingkatkan sebab kita mahu bukan hanya dijual atau dipasarkan dalam negara tetapi juga di luar negara,” katanya kepada UMNO Online.
Berhubung tawaran BN, Noraini melihat ianya bukan sahaja realistik malah mampu dilaksanakan kerana BN adalah sebuah parti yang ada pengalaman.
“Selama ini soal pembangunan, begitu juga kestabilan serta kemakmuran kepada rakyat di negara ini telah terbukti… rakyat juga telah teruji selama 22 bulan selepas kekalahan BN apabila semua tertekan termasuklah ekonominya dan sebagainya lagi.
“Kerana inilah rakyat perlu memilih BN sebab parti ini hanya satu-satunya part yang membela, kita bukan hanya sekadar satu ‘multiracial party’ tetapi juga kita yang memikirkan untuk rakyat.
“Sebagai contoh semasa PH memerintah pun jika berlaku apa-apa di kawasan, kita juga yang dicari dan bukannya kerajaan yang memerintah pada waktu itu. Kita Alhamdulillah melihat jentera BN bukan hanya bekerja pada waktu pilihan raya sahaja malah sepanjang masa. Kita berikan perhatian kita dalam soal kebajikan dan sebagainya lagi sejak daripada dahulu lagi,” ujarnya. – UMNO Online