Calon BN Ledang Ajak Pengundi Bina Semula Kestabilan, Kemakmuran

LEDANG, 10 Nov – Saya mengajak masyarakat di Ledang ini untuk bersama-sama membina semula apa yang telah dicapai sebelum ini, membina dengan asas tawaran kestabilan dan kemakmuran, demikian menurut calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Ledang, Datuk Ir Hamim Samuri.

Jelas beliau hasil pengamatannya rata-raya pengundi setuju dengan apa yang dibawa itu kerana masing-masing sedar betapa sukarnya di bawah Pakatan Harapan (PH) selepas tewasnya BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Nampaknya pengundi setuju bahawa mereka pernah mengalami satu tempoh yang menyukarkan kerana PH, dan selepas itu berlaku ketidakstabilan dan menyebabkan mereka rasa sukar untuk berniaga dan sebagainya.

“Kali ini mereka berharap kerajaan yang dipilih ini akan dapat memulihkan keadaan. Apabila kita tawarkan kestabilan menjadi penyebab kepada kemakmuran rata-rata setuju dengan apa yang dikatakan itu bahawa kestabilan cukup penting. Akhirnya insya-Allah mereka mencari sebuah parti yang boleh membentuk kestabilan,” katanya kepada UMNO Online.

Bertanya tentang rentak kempen yang memasuki hari keempat, beliau berkata sehingga ke hari ini berdasarkan hasil pertemuan dan kempen bersemuka menampakkan impak yang positif.

“Kunjungan kita rumah ke rumah dan kedai-kedai semata-mata untuk bertemu dan berjumpa seberapa ramai para pengundi dan maklumbalas pelbagai kaum di sini sangat positif. Saya harap ini akan dapat diterjemahkan pada 19 Nov ini. Kita bina semula kestabilan dan kemakmuran.

“Apa pun dengan pertandingan enam penjuru boleh dikatakan meriah..,saya jangka masing-masing agak kompleks untuk menilai setiap calon namun saya yakin di peringkat kita, mereka (pengundi) akan menilai calon dan parti daripada rekod yang lepas,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.