Calon Baharu BN Tekad Mahu Rampas Kembali Johor Bahru
JOHOR BAHRU, 10 Nov – Meskipun merupakan calon baharu Barisan Nasional (BN), namun Johan Ariffin Mohd Ropi bertekad untuk merampas kembali kerusi Parlimen Johor Bahru yang sebelum ini sepenggal bersama pembangkang.
Johan yang merupakan anak tempatan Johor Bahru itu juga mengakui sedikit gementar, namun berjanji akan menunaikan amanah yang diberikan sekiranya mendapat mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
“Sebagai calon yang pertama kali bertanding sudah pasti saya agak gementar. Namun, setelah enam hari berkempen bersama jentera saya, saya mulai semakin serasi dan perasaan gemuruh itu turut hilang.
“Kerjasama erat ini sudah tentu meningkatkan semangat juang saya untuk mendapatkan kembali kerusi Parlimen Johor Bahru dan saya yakin serta optimis bahawa BN akan menang kerusi ini,” katanya.
Calon yang berusia 42 tahun itu juga bertekad menangani pelbagai isu dan permasalahan penduduk yang memerlukan perhatian sekaligus menyambung kembali usaha BN yang pernah dilakukan sebelum ini sekiranya menjadi wakil rakyat di parlimen berkenaan selepas 19 November nanti.
“Saya turut membawa lima teras dalam siri kempen saya untuk Johor Bahru dan diharap dapat menyakini para pengundi untuk memilih saya pada 19 November depan.
“Teras pertama membabitkan kebolehundian Johor Bahru yang mana menjadikan bandaraya berkenaan menjadi pilihan utama penduduk dengan berfokus kepada keseimbangan di kawasan bandar menerusi memantapkan jaringan pengangkutan awam yang lebih baik.
“Teras kedua adalah kedinamikan ekonomi yang mana tekad saya adalah menjadikan bandaraya ini mesra usahawan dengan meningkatkan sistem yang lebih efisyen bagi serta merancakkan pembangunan ekonomi setempat,” katanya.
Ahli Jawatan Kuasa UMNO Bahagian Johor Bahru yang juga arkitek itu juga berhasrat melestarikan alam sekitar dan mahu Parlimen berkenaan menjadi bandar yang matang dengan menambahbaik Sungai Tebrau yang turut memerlukan kerjasama bersama Parlimen Pasir Gudang dan Tebrau.
“Kalau kita lihat buat masa ini, Johor Bahru tidak memiliki sebuah taman yang besar dan diharap rancangan ini dapat dijayakan pada masa akan datang.
“Teras selanjutnya membabitkan soal kesihatan yang mana saya lihat fasiliti perkhidmatan ini perlu dipertingkatkan lagi berikutan kepadatan penduduk di parlimen ini yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.
“Oleh itu, saya berharap pembinaan Klinik Kesihatan di Kampung Kurnia bagi menampung keperluan penduduk setempat dapat direalisasikan selain mengerakkan pusat dialisis, pusat jagaan orang tua, kanak-kanak autism dan anak-anak disleksia sesuai dengan yang urban pada masa ini,” katanya.
Bapa kepada tiga anak itu juga tidak ketinggalan mahu meningkatkan aspek pendidikan untuk Parlimen Johor Bahru.
“Saya mahu fokus tentang soal beg berat di kalangan murid-murid sekolah serta bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif sesuai dengan perkembangan dunia pendigitalan dengan penggunaan Smart Televisyen dan sebagainya,” katanya. – UMNO Online