Jangan Biarkan Pembangkang Berkuasa Semula Di Sepanggar – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 9 Nov – Rakyat Sepanggar digesa supaya tidak membiarkan kawasan mereka sekali lagi dikuasai pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas sepenggal berada di bawah Parti Warisan (WARISAN).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata rakyat Sepanggar perlu memenangkan calon BN, Datuk Yakub Khan lebih-lebih lagi beliau adalah satu-satunya anak tempatan daripada lima calon yang bertanding di kerusi Parlimen Sepanggar.

Katanya, jika calon pembangkang masih dikekalkan pada PRU15 ini, Sepanggar mungkin terus mundur berbanding kawasan lain yang diwakili wakil rakyat kerajaan.

“Yakub rumah dia di sini dan dia tiada tempat lain lagi mahu pergi selain di Sepanggar ini, jadi selayaknya dia dipilih oleh pengundi di kawasan ini.

“Rakyat Sepanggar tidak boleh membiarkan kawasan ini sekali lagi dimenangi pembangkang bagi memastikan ia tidak tersisih daripada perhatian kerajaan,” katanya pada ceramah perdana BN Sepanggar di Kampung Warisan, Inanam, di sini, malam tadi.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata inilah peluang untuk rakyat di Sepanggar mengubah keadaan di kawasan mereka agar tidak mundur atau terus ketinggalan.

“Jika dibandingkan dengan Kinabatangan, Sepanggar ini tidaklah luas tetapi Kinabatangan lebih membangun atas usaha saya.

“Kalau dulu datang ke Kinabatangan hanya ada hutan rimba saja, tempat hantu bertandang tetapi sekarang jalan rayanya kalah yang ada di bandar,” katanya yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Kinabatangan.

Sementara itu, beliau berkata Yakub yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah mungkin berpeluang menjawat jawatan yang lebih baik dalam kerajaan persekutuan jika BN berjaya mentadbir Putrajaya.

“Insya-Allah BN akan mentadbir Putrajaya nanti dan mungkin Yakub boleh mendapat jawatan yang lebih baik lagi, malah silap-silap menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM),” katanya.

Pada PRU15, Yakub berdepan saingan daripada penyandang kerusi Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman (WARISAN) selain Jumardie Lukman (KDM), Mustapha Sakmud (Pakatan Harapan-PH) dan Yusof Kunchang (PEJUANG).

Dalam hal berkaitan, Bung Moktar turut mengingatkan pemimpin BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya sama-sama memenangkan calon BN dan GRS di semua 25 kawasan Parlimen yang ditandingi kedua-dua gabungan itu.

Katanya, kerjasama kedua-dua gabungan itu seperti yang disepakati bersama sebelum ini perlu diterjemahkan dengan sebaik mungkin sepanjang kempen PRU15 demi kemenamgan semua calon BN dan GRS.

“Saya sendiri tinggalkan kawasan saya di Kinabatangan untuk pastikan sahabat saya di Tenom, Beaufort dan lain-lain kawasan menang. Malah, Sipitang yang ditandingi GRS pun saya tolong.

“Sama ada pemimpin BN atau GRS, kita kerjasamalah menangkan calon kita di Sipitang, Papar, Beaufort, Tuaran dan di tempat lain.

“Saya sedih kalau ada antara pemimpin GRS atau BN yang tidak menyahut seruan yang kita panggil dalam kempen PRU kali ini,” katanya.

Bung Moktar berkata, beliau akan berjumpa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS berhubung perkara itu berikutan ada satu dua kawasan menunjukkan masih belum ada kerjasama.

Katanya, ia bagi memastikan semua calon BN dan GRS dimenangkan pada PRU kali ini. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit