Calon BN Arau Prihatin, Selesai Masalah Pesawah Berdepan Air Bertakung

ARAU, 9 Nov – Prihatin dengan permasalahan yang menimpa pesawah di Kampung Banat, calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Arau, Datuk Rozabil Abdul Rahman turun padang bagi mencari penyelesaian berkaitan masalah tersebut.

Beliau bersama pasukannya telah bertemu dengan pesawah yang berhadapan kesukaran kerana petak bendang diusahakan mereka dipenuhi air disebabkan saliran tidak mampu mengeluarkan takungan tersebut.

“Saya dijemput oleh pesawah di Kampung Banat iaitu mereka ada masalah air tak keluar dari petak.

“Sudah menabur empat ke lima kali masih tak nampak hasil jadi saya telah berhubung dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) puncanya ialah saliran air keluar daripada petak ini adalah kecil disebabkan ada projek lintasan jalan sedang dijalankan di kawasan ini,” katanya ketika ditemui ketika mengadakan lawatan tersebut.

Mengambil perhatian terhadap masalah tersebut, Rozabil memaklumkan JKR akan segera menyelesaikan masalah tersebut bagi memudahkan pesawah melakukan aktiviti pertanian.

“Jadi pagi tadi pengarah JKR negeri sudah bersetuju dengan permintaan untuk membesarkan saluran, ini akan membolehkan air keluar dengan laju jadi tidak akan ada takungan di petak bendang yang diusahakan oleh mereka.

“Saya hendak ucapkan terima kasih kepada JKR yang telah mengambil tindakan yang begitu cepat dalam masa 24 jam dan sebenarnya itulah impian untuk pastikan apa sahaja masalah pesawah dapat kita selesaikan dengan secepat mungkin kerana itulah moto BN Parlimen Arau,” ujar beliau.

Sementara itu, pesawah yang ditemui turut meluahkan kesyukuran atas kerjasama Rozabil dan JKR Perlis yang segera menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.