‘Pasir Gudang Kita Punya’, Bersama Kembalikan Kegemilangannya – Noor Azleen
PASIR GUDANG, 8 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pasir Gudang Noor Azleen Ambros menyeru rakyat khususnya pengundi bersama mengembalikan zaman kegemilangan kawasan itu yang tertangguh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.
Ini kerana katanya, kerajaan yang mengambil alih sejurus selepas PRU14 telah menghentikan banyak perancangan yang direncanakan oleh BN.
“Sekiranya saya diberi peluang dan kepercayaan pengundi Pasir Gudang, sudah tentulah yang pertama bahawa kita hendak pastikan Pasir Gudang ini dapat kembali merasai kegemilangannya yang tertangguh.
“Sebab kita tahu pada 2018 apabila kita (BN) kalah banyak perancanaan dan perancangan yang telah kita rancang sebelum ini untuk orang Pasir Gudang tertangguh kerana kesilapan mereka memilih pemimpin ketika itu.
“Tetapi tidak ada masalah kita betulkan pada kesempatan kali ini yang mana ia menjadi detik penentu sama ada adakah kita boleh betul-betul untuk kita kembalikan kegemilangan Pasir Gudang yang tertangguh sebelum ini,” kata Noor Azleen yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia kepada UMNO Online.
Menyentuh mengenai tagline ‘Pasir Gudang Kita Punya’ yang menjadi tema kempennya, Ketua Pemuda UMNO bahagian itu berkata ia supaya wujud rasa kepunyaan dan kekitaan bagi masyarakat di kawasan itu. (klik di sini: pautan video lagu).
“Kita tahu kepelbagaian latar belakang pengundi Pasir Gudang ini yang sangat pelbagai dan datang dari seluruh pelusuk negara. Menyedari hakikat tersebut, perlu kita bangkitkan rasa kepunyaan ‘sense of belonging’ bahawa Pasir Gudang ini memang tempat untuk kita bermastautin, membina keluarga dan yang paling penting untuk membina masa hadapan.
“Sebab itu kita perlu rasa kepunyaan Pasir Gudang itu dan dalam apa juga yang hendak kita lakukan mestilah ianya sesuai dengan kehendak dan kemahuan orang Pasir Gudang itu sendiri.
“Sebab itu kita kemukakan ‘tagline’ yang menjadi ‘war cry’ kita dalam pilihan raya kita kali ini adalah ‘Pasir Gudang Kita Punya’, maka kita hendak bangkitkan rasa kepunyaan tersebut dan mudah-mudahan itu akan dekat di hati pengundi,” ujarnya lagi yang turut membuat lagu khusus bagi rakyat Pasir Gudang.
Pada PRU15 ini, Noor Azleen akan berhadapan dengan tiga lagi pesaing iaitu dari Perikatan Nasional (PN), Pejuang dan termasuk penyandang dari Pakatan Harapan (PH). – UMNO ONLINE