Empat Penjuru Di Masjid Tanah, BN Ada Kelebihan – Abdul Hakim

MASJID TANAH, 8 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid melihat setiap calon yang bertanding di kawasan berkenaan mempunyai kelebihan serta kekurangan masing-masing.

Cuma katanya yang akan berdepan saingan empat penjuru di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15, BN tentunya mempunyai kelebihan berasaskan kepada persiapan awal dan juga keyakinan masyarakat setempat terhadap parti berkenaan.

“Pada saya bertembung empat penjuru sama rata. Semua ada kelebihan dan kekurangan. Bagi saya di peringkat BN, persediaan lebih awal selain kesetiaan serta kepercayaan daripada masyarakat setempat kepada BN dalam membawa hasrat serta aspirasi mereka. Insya-Allah,” katanya dalam temubual bersama UMNO-Online, di sini.

Beliau yang merupakan antara muka baharu yang diketengahkan parti seterusnya menyatakan perlunya pengundi memilih parti yang benar-benar boleh membawa kestabilan dan kemakmuran.

“Manifesto kita kestabilan dan kemakmuran… ini menjadi contoh di Melaka yang dibentuk kerajaan negeri selepas PRN (Pilihan Raya Negeri) yang lalu yang mana kerajaan negeri hari ini berada dalam situasi yang stabil dan ini memberikan kelebihan kepada masyarakat untuk menikmati kesejahteraan bersama,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau seterusnya berharap kepercayaan yang diberikan pengundi pada PRN lalu dengan memilih wakil rakyat BN akan diteruskan pada PRU15 ini.

“Visi dan misi yang saya hendak bawa ke Masjid Tanah ini mestilah selari dengan kerajaan negeri kerana apatah lagi kita mempunyai lima DUN (Dewan Undangan Negeri) dan kelima-lima ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) ini terdiri daripada BN.

“Jika pada 19 Nov ini ahli Parlimen yang dipilih nanti datangnya daripada BN ia akan lebih memudahkan lagi segala perancangan dan pelaksanaan kelak, insya-Allah,” tambahnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.