PRU15: Calon BN DUN Rungkup, Hutan Melintang Tekad Teruskan Pembangunan Tergendala

BAGAN DATUK, 7 Nov – Selepas UMNO/Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu, banyak projek pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bawah Parlimen Bagan Datuk tergendala.

Calon bagi kerusi DUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, semasa zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, hampir RM3.3 bilion projek telah dibatalkan.

“Kita mahu meneruskan pembangunan yang telah kita laksanakan di DUN Rungkup khususnya dan di Bagan Datuk amnya. Banyak pembangunan yang telah dirancang namun tergendala selepas PRU ke-14.

“Kita mahu ianya diteruskan selepas PH membatalkan begitu banyak projek. Daripada RM4.3 bilion projek yang telah diluluskan sebelum PRU ke-14, hampir RM3.3 bilion telah dibatalkan.

“Jadi, kita mengharapkan calon Parlimen, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, calon DUN Rungkup dan calon DUN Hutan Lintang akan kembali memenangi kerusi masing-masing untuk kita meneruskan agenda pembangunan disini,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana dipilih sebagai calon di kerusi itu serta mengharapkan para pengundi di kawasan tersebut terus memberikan sokongan untuk terus berkhidmat di kawasan tersebut.

“Syukur alhamdulilah saya merasa begitu teruja kerana dipilih sebagai calon DUN Rungkup buat kali ketiga. Pemilihan dan kepercayaan ini saya akan terjemahkan dengan bekerja sehabis baik untuk memperoleh kemenangan.

“Kepada para pengundi di Rungkup, saya mengharapkan pertimbangan yang sewajarnya. Saya sentiasa mencuba akan terus melakukan yang terbaik. Jadi untuk itu, berikanlah undi kepada saya pada 19 November nanti,” katanya lagi.

Dalam pada itu, calon bagi DUN Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi berkata, misi beliau bersama calon dan juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk, Ahmad Zahid adalah selari iaitu untuk memastikan pembangunan yang sebelum ini tergendala dikembalikan.

“Saya yakin dan percaya bahawa misi saya bersama Ahmad Zahid selaku ahli Parlimen apabila kita bergerak selari untuk memastikan pembangunan yang sebelum ini tergendala pada PRU ke-14 dikembalikan kepada rakyat.

“Insya-Allah kita akan meneruskan perancangan yang dibuat bagi memastikan pembangunan secara menyeluruh di kawasan Parlimen Bagan Datuk termasuklah DUN Hutan Melintang,” katanya kepada UMNO Online.

Khairuddin turut bersyukur kerana dipilih menjadi calon di kawasan tersebut dan berjanji untuk bekerja sehabis baik bagi memperoleh kemenangan.

“Syukur alhamdulilah kerana saya telah terpilih untuk menjadi calon mewakili UMNO/Barisan Nasional (BN) bagi kawasan DUN Hutan Melintang dan saya akan memastikan bahawa amanah yang telah diberikan oleh pucuk pimpinan parti dilaksanakan sebaik mungkin.

“Jadi saya dengan rendah diri memohon jasa baik, sokongan doa dan juga yang paling penting adalah undi yang dimasukkan ke dalam kotak peti undi. Jangan lupa untuk mengundi lambang dacing, lambang keramat kita untuk memastikan kemenangan saya bagi membentuk kerajaan negeri perak bawah UMNO/BN selepas PRU ke-15,” katanya lagi.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, Datuk Shahrul Zaman telah berjaya memenangi kerusi DUN Rungkup dengan majority undi sebanyak 3,069 manakala Datuk Khairuddin Tarmizi pula berjaya menewaskan pihak lawan di kerusi DUN Hutan Lintang dengan 741 perbezaan undi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit