PADU Tawaran Baharu BN Untuk Rakyat Malaysia Bentuk Kerajaan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Barisan Nasional (BN) menampilkan Perancangan Amal dan Usaha (PADU) yang menggariskan 10 teras dan 99 tawaran untuk rakyat Malaysia dalam memberikan mandat bagi membentuk kerajaan Persekutuan kelak.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN tampil menawarkan kestabilan dan kemakmuran yang Malaysia perlukan atas kesedaran bahawa sesebuah parti yang berhasrat menjadi kerajaan, perlu mempunyai agenda dan pelan yang konkrit untuk negara.

“Ini adalah saat yang sangat penting, kerana Malaysia memerlukan permulaan yang baharu, setelah empat tahun yang sangat tidak menentu.

“Kita mesti memilih parti yang boleh membentuk kerajaan yang bertanggungjawab, yang pragmatik dan yang mempunyai rencana yang jelas untuk Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO bekata demikian dalam ucapan semasa melancarkan manifesto BN yang disiarkan secara langsung melalui laman rasmi Facebook Umno Online, malam ini.

Tegas Ahmad Zahid, BN menetapkan dua keutamaan penting iaitu pertama akan mewujudkan kestabilan politik dengan membentuk sebuah erajaan yang kuat iaitu kerajaan yang berupaya mengakhiri segala politik jelik dan pelik, lompat melompat, ugut-mengugut dan tekan-menekan serta menoktah segala sandiwara yang membawa ketidakstabilan dan ketidaktentuan.

“Kedua, kami akan menguruskan Malaysia agar menjadi sejahtera dan makmur iaitu kerajaan yang akan dalam politik dan kerajaan.

“Insya-Allah, ini akan dicapai dengan melaksanakan pelbagai pelan dan perancangan yang bersifat prorakyat, propembaharuan, prokemajuan dan mengutamakan keterangkuman.”

Namun katanya, BN tidak boleh berseorangan dalam ikhtiar besar ini.

“Kami memerlukan sokongan dan penglibatan semua. Sesungguhnya 99 Amal dan Usaha yang kami nukilkan dalam PADU ini adalah sesuatu yang kami rasakan terbaik untuk negara dan masyarakat kita.

“Justeru, saya pulangkan semuanya kepada pertimbangan baik saudara dan saudari yang mempunyai kuasa untuk menentukan masa depan negara.

“Saya jemput semua untuk meneliti pelan amal dan usaha kami. Lihatkan dengan berlapang dada bagaimana semua itu akan mengubah negara dan masa depan kita. Saya akui, ini bukan pelan yang sempurna. Tapi saya dan seluruh pasukan BN percaya, ia mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri.

Katanya lagi, dengan rendah hati, beliau menyeru sokongan dan doa daripada semua.

“Semoga apa yang kita lakukan bersama ini membuahkan hanya yang terbaik untuk tanah air, Insya-Allah. Undilah kestabilan. Undilah Kemakmuran. Undilah Barisan Nasional.

“Saya dengan penuh insaf dan kesedaran menawarkan PADU BN untuk pertimbangan saudara saudari semua,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.